PENASIHAT kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Dr Ramlan Abd Aziz (belakang enam dari kiri) dan Ketua Undang-undang, Pematuhan dan Setiausaha Syarikat Telekom Malaysia Berhad Idrus Ismail (belakang tujuh dari kiri) bergambar bersama barisan penaja Kejohanan Ragbi Premier 7 sebelah MCKK di Bangunan MCOBA.
PENASIHAT kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Dr Ramlan Abd Aziz (belakang enam dari kiri) dan Ketua Undang-undang, Pematuhan dan Setiausaha Syarikat Telekom Malaysia Berhad Idrus Ismail (belakang tujuh dari kiri) bergambar bersama barisan penaja Kejohanan Ragbi Premier 7 sebelah MCKK di Bangunan MCOBA.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas pasukan luar mendominasi dua edisi sebelum ini, Pengarah Kejohanan Ragbi Premier 7 Sebelah MCKK 2016, Amrul Hazarin Hamidon percaya Piala NJ Ryan bakal kekal di bumi Malaysia apabila kejohanan itu membuka tirai di Kuala Kangsar, pada 26-28 Februari ini.

Sekolah Sukan Hong Kong yang muncul juara musim lalu selepas membenam juara 2014 dari New Zealand, Scots College di pentas final akan kembali mempertahankan gelaran bersama naib juara itu selain Sekolah Antarabangsa Australia di Singapura yang mengesahkan kehadiran mereka.

Menurut Amrul, meskipun kehadiran tiga pasukan jemputan itu seolah-olah menutup peluang wakil negara, pihaknya yakin pasukan tempatan yang mewakili setiap negeri lebih bersedia kali ini.

Malah, katanya, kejohanan itu juga boleh menjadi medan pemain tempatan mengutip pengalaman di peringkat antarabangsa kerana pasukan seperti Sekolah Sukan Hong Kong mempertaruhkan majoriti tonggak kebangsaan bawah umur mereka.

“Ini kesempatan buat pemain muda kita yang datang dari sekolah seluruh negara untuk bersaing selain meraih pengalaman berguna.

“Walaupun pemain kita mungkin terpaksa bertarung dengan pemain yang memiliki fizikal lebih besar, saya yakin pasukan tempatan yang bertanding sudah bersedia,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kejohanan Ragbi Premier 7 sebelah MCKK 2016, di sini, semalam.

Selain tiga pasukan luar itu, sejumlah 21 pasukan tempatan dari setiap negeri yang muncul juara di negeri masing-masing dan jemputan bakal menghangatkan suasana.

Kejohanan anjuran bersama MCKK dan Malay College Old Boys Association (MCOBA) turut mendapat pengiktirafan Global World Rugby Events Southeast Asia yang menyifatkan kejohanan ini antara contoh terbaik bagaimana untuk mempromosikan sukan itu.

“Jawatankuasa penganjur mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan buat sokongan diberikan Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai penaja kejohanan.

“Begitu juga penaja lain yang membantu kami. Tanpa sokongan penaja sektor korporat mungkin sukar untuk kejohanan ini berlangsung,” kata Presiden MCOBA Datuk Ghazali Mat Ariff.

Selain TM selaku penaja utama dan 13 badan korporat lain, New Straits Times Press (M) Bhd dan Big Tree Outdoor Sdn Bhd tampil sebagai media rasmi kejohanan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 6:05 AM