Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution Ismail.
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Perikatan Nasional (PN) yang kini mempunyai 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang disifatkan sudah cukup menjadi pembangkang di negeri itu.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekiranya pengundi Sungai Bakap tetap memilih PN menjadi wakil rakyat mereka sekali lagi, ia tidak akan membawa apa-apa perbezaan di kawasan berkenaan.

"Dun Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dun yang PN sebelum kosong ada 11 kerusi manakala Perpaduan pula ada 29 kerusi.

"Sekarang Perpaduan ada 29 kerusi dan PN pula 10 kerusi (selepas seorang penyandang meninggal dunia) yang 10 kerusi itu (sebenarnya) sudah cukup jadi pembangkang.

"Tiada beza (pengundi) Sungai Bakap nak hantar seorang lagi (wakil rakyat) pembangkang yang lebih baik (beri peluang) kepada calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Perpaduan yang mempunyai kelayakan akademik tinggi serta sanggup menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perpaduan di Taman Widuri, Sungai Jawi, di sini, malam tadi.

Jelasnya, kemenangan calon PH di Sungai Bakap juga akan memperkukuhkan dan menguatkan lagi kedudukan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

"Sejak 2008 kerajaan Pulau Pinang diperintah PH hingga sekarang, kini sudah mempunyai pengalaman sangat luas dengan pelbagai program kebajikan yang tidak terhitung sedangkan ketika itu menjadi pembangkang (berikutan tidak senada dengan Pusat) sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15 lalu).

"Kerajaan Pulau Pinang mempunyai rekod yang jelas (dari segi penyaluran bantuan) antaranya (bantuan) anak sekolah, masuk universiti, bantuan masjid dan surau, pemandu teksi dan bas serta ada i-Sejahtera (bantuan tunai kepada warga emas dan ibu tunggal).

"Ini (sudah terbukti) apabila PH sudah memerintah Pulau Pinang (memasuki penggal keempat) dan inilah peluang pengundi Sungai Bakap untuk memilih calon Perpaduan mewakili mereka. Banyak kelebihan (jika) wakil rakyatnya daripada Kerajaan Perpaduan," katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Dr Joohari Ariffin, 60 dan PN yang diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail, 56.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 8:08 AM