EMI Idura Che Hashim.
EMI Idura Che Hashim.
EMI Idura Che Hashim.
EMI Idura Che Hashim.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Menelusuri pengalaman wanita berusia 37 tahun ini dalam bidang perundingan imej sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa sememangnya figura ini bukan calang-calang wanita. Ditauliahkan sebagai perunding imej dan warna profesional daripada institut imej terkemuka dunia, London Image Institute, United Kingdom, membolehkan Emi Idura Che Hashim, diiktiraf sebagai Muslimah pertama Malaysia dari pusat imej terkemuka itu.

Menceritakan lebih lanjut mengenai tercetusnya minat dalam bidang perundingan imej ini, Emi yang memiliki Diploma Pengurusan Kesetiausahaan dari Kolej SAL menjelaskan, hampir 17 tahun berpengalaman sebagai setiausaha bersama syarikat korporat dia melihat pengetahuan asas pekerja dalam penggayaan dan imej diri sangat rendah.

“Setiap hari berulang-alik ke tempat kerja menaiki pengangkutan awam saya bertemu ramai orang. Namun kebanyakan mereka walaupun bekerja di syarikat besar tidak menjadi wakil kepada syarikat.

“Bermula dari situ saya terfikir, alangkah baiknya sekiranya dapat membantu individu menyerlahkan imej diri bukan saja menerusi penggayaan luaran dan dalaman seperti keyakinan, rasa tanggungjawab serta semangat untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Disebabkan tiada ilmu, Emi berasakan amat sukar untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada bidang yang cuba diketengahkan ini dan bermulalah pengembaraan Emi berkelana ke luar negara selepas mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai setiausaha syarikat.

“Sijil pertama saya peroleh di Australia dalam Masteri Bahasa Universal Analisis Warna dari Ferial Image Consulting & Training dan juga pensijilan dalam program profesional, Etiket di Meja Makan Majlis Rasmi oleh Charleston School of Protocol and Etiquette, Amerika Syarikat.

“Kemudian, saya ke London untuk meneruskan pengajian dalam bidang perundingan imej di bawah Lynne Henderson Marks, Presiden London Image Institute salah seorang perunding imej master terkenal di dunia,” katanya yang beruntung kerana dapat belajar dengan seorang yang berpengalaman dan diiktiraf di seluruh dunia.

Tubuh syarikat sendiri

Sekembalinya dari London, Emi memulakan karier sebagai perunding imej korporat dengan menubuhkan syarikat Top2ToeStyliesta Image Consulting yang menawarkan program mengenai penjenamaan imej peribadi dan penampilan profesional merangkumi modul pengurusan imej, etika dan protokol perniagaan, perkhidmatan pelanggan dan bengkel hijab (gaya bertudung buat Muslimah profesional).

Antara syarikat korporat yang pernah mendapatkan khidmat nasihatnya termasuk Khazanah Nasional Berhad, Yayasan Khazanah, Petronas, Tenaga Nasional Berhad, DRB Hicom, Media Prima, IOI Group, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Lembaga Zakat Selangor dan Kementerian Kesihatan.

Melonjakkan perjalanan karier Emi sebagai perunding imej, pada akhir 2013, dia berpeluang bekerjasama dengan penyanyi popular tanahair, Mizz Nina yang ketika itu baru pulang daripada menunaikan haji.

Sebagai penata gaya hijab dan perunding imej kepada Mizz Nina yang memiliki busana Muslimah, Madeena, membolehkannya menata gaya hijab Mizz Nina untuk sesi fotografi majalah dan pertunjukan fesyen Muslimah sempena Being Me - Empowered Muslimah International Conference di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada pertengahan 2014.

“Detik pertemuan dengan Mizz Nina memberi peluang saya memantapkan lagi kerjaya sebagai perunding Imej. Saya mencari konsep untuk penampilan Mizz Nina serta imej perniagaannya. Kami turut menjelajah mencari bahan bagi penyertaan dalam Festival Fesyen Islam (IFF),” katanya.

Sebagai usahawan dan individu yang berwawasan jauh, Emi Idura juga dipilih mewakili Kuala Lumpur sebagai Duta Hari Hijab Sedunia pada 2014 dan 2015 berkolaborasi bersama penyanyi ini.

Khidmat perundingan imej masih kurang diterima

Sebagai antara pelopor dalam bidang perundingan imej, menurut Emi khidmat perunding imej di Malaysia masih kurang diterima kerana ramai tidak tahu potensi besar bagi membolehkan kerjaya ini berkembang.

Lebih penting, penampilan adalah visual pertama yang dinilai masyarakat dalam membentuk pelbagai persepsi, positif atau negatif namun ia tidak hanya kepada penggayaan saja.

“Ramai menganggap imej hanya luaran, pakaian, solekan dan gaya tudung tanpa mengetahui imej membawa makna yang sangat meluas. Konsep rundingan imej ini adalah penjenamaan diri yang mampu membentuk diri seseorang menjadi lebih positif. Ia bukan mengenai penampilan, tetapi lebih kepada komunikasi dan bahasa tubuh bagi memupuk keyakinan diri,” katanya.

Sebagai contoh kebanyakan golongan wanita hari ini tidak mengenakan warna baju dan tudung sesuai yang dianggap sebagai produk atau jenama diri. Ilmu ini boleh diperolehi menerusi bengkel yang diketengahkan syarikatnya Top2Toe­Styliesta Image Consulting. Menerusi rahsia penampilan diri, ia dapat membantu setiap wanita menjimatkan wang dan masa malah tampil lebih anggun, berseri, muda dan segar.

Minat Norma Norell

Wanita kelahiran Kelantan ini sejak kecil amat meminati perunding imej terkenal, Norma Norell dan berangan-angan mahu menjadi sepertinya. Bagi Emi, dia menganggap wanita itu sebagai idola kerana cara dia bercakap, gaya fesyen dari hujung rambut hingga kaki menarik perhatiannya.

Sejak kecil anak kedua daripada lima beradik ini suka bergaya. Oleh kerana ibu juga pandai menjahit baju, Emi sering menggayakan padanan rekaan ibunya menyebabkan dia menjadi tumpuan.

“Sejak sekolah rendah pakaian saya memang berbeza. Ini menyebabkan ramai bertanya dan mula mendapatkan nasihat bagaimana bergaya seperti itu. Saya pula sudah bijak menyesuai padan menyebabkan apa saja digayakan menarik perhatian. Mungkin bakat yang mengalir dalam diri ibu turut terkena tempiasnya pada saya,” katanya tersenyum.

Pada masa akan datang, Emi berharap bidang perundingan imej mampu berada sebaris dengan kursus lain di unversiti. Setakat ini modul kursus untuk perundingan imej masih belum ditawarkan secara khusus di pusat pengajian tinggi.

“Apa yang boleh dilakukan adalah menerapkan kepada pelajar ketika di sekolah menengah mengenai pentingnya mengenal diri dan membentuk imej agar mereka dapat menggunakannya ketika bekerja,” katanya yang giat menjalankan bengkel mini bertajuk Perunding Imej dan Analisis Warna Personaliti kepada semua individu. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bengkel ini boleh melayari http://www.top2toestyliesta.com atau Facebook Top2ToeStyliesta Image Consulting.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 10:51 AM