SELEBRITI bukan Islam juga turut menyatakan sokongan seperti Amber Chia dan Carol Lee terhadap program WHD.
SELEBRITI bukan Islam juga turut menyatakan sokongan seperti Amber Chia dan Carol Lee terhadap program WHD.

Berpanoramakan banggunan pencakar langit KLCC, Hari Hijab Sedunia (WHD) 2015 yang diadakan di Taman KLCC, semalam menyaksikan perhimpunan Muslimah muda dari pelbagai negara.

Program yang dicetuskan Nazma Khan yang juga warga New York, cukup membanggakan dengan pembabitan 116 negara menyokong usaha ini sejak ia diperkenalkan pada 2013.

Bebas unsur politik, WHD ditubuhkan atas dasar tanggungjawab serta pemahaman berhubung pemakaian hijab yang mengikut syarak, selain memupuk toleransi serta merapatkan ukhwah khususnya buat saudara baru atau mualaf. Ulang tahun WHD juga disambut pada 1 Februari setiap tahun.

Apa yang menarik, program ini tidak menolak keinginan Muslimah untuk berfesyen, bahkan memberi panduan penggayaan yang sesuai buat Muslimah.

Namun, masih menepati syarak pemakaian Muslimah, agar keinginan berfesyen itu tidak membawa kemudaratan kepada mereka yang berhijab.

Mizz Nina yang juga pemilik jenama pakaian Muslimah, Madeena, hadir sebagai seorang daripada panel bagi berkongsi pandangan dan pengalaman dengan orang ramai mengenai pemakaian hijab dan hijrah yang dilakukannya.

Perhimpunan anjuran sekumpulan Muslimah muda dengan kerjasama Duta WHD Kuala Lumpur, Emi Idura Che Hashim yang bermula jam 11 pagi, turut mempromosikan gaya berhijab secara profesional dan diiringi pertandingan menarik.

Sambil mendapatkan tip berguna, acara itu turut memupuk sikap dermawan apabila pengunjung boleh mendermakan koleksi tudung mereka untuk didermakan kepada Muslimah yang terbabit bencana banjir di pantai timur, tahun lalu.

Perkhidmatan membungkus sumbangan juga disediakan di lokasi sambutan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 11:08 AM