Ghazali Kori


SELATAN Thailand terletak bersempadan dengan Malaysia, memiliki pelbagai lokasi menarik dan bersejarah yang boleh dikunjungi.

Wilayah seperti Pattani, Yala dan Narathiwat menjadi tumpuan pelancong dari negara ini terutama setiap kali cuti sekolah atau pada hujung minggu.

Pelancong dari Malaysia boleh masuk ke Selatan Thailand melalui pintu sempadan sama ada dengan bas atau kereta api, memandu kereta, menunggang motosikal atau mengayuh basikal.

Selain lokasi menarik, pelbagai jenis makanan halal yang unik dan penginapan berpatutan menjadi antara tarikan utama di sini.

Malah, kemampuan penduduk di Selatan Thailand yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan dialek Kelantan menjadikan masyarakat dari Malaysia berkunjung ke wilayah ini.

Baru-baru ini, penulis bersama empat rakan Amer Narani, Adi Norhairi, Qoyum Hassan dan Ardi Putra dari Bikepacking Tranung membuat kelainan dengan mengunjungi Pattani, Yala dan Narathiwat dengan basikal.

Tujuan ekspedisi dinamakan sebagai Kayuhan Kenal Usul ini dilakukan bertujuan meneroka asal usul budaya masyarakat Selatan Thailand di samping mengkaji sejarah wilayah yang masih bergolak itu.

Cabarannya sudah pasti memerlukan penulis mengerah tenaga, mengambil masa yang agak lama dan berdepan dengan cuaca panas terik.

MERASAI pengalaman menaiki kereta api kayu lama untuk ke bandar Yala.
MERASAI pengalaman menaiki kereta api kayu lama untuk ke bandar Yala.

Bagaimanapun, ia berbaloi kerana dengan basikal, penulis dan rakan dapat menikmati keindahan lokasi yang dikunjungi dengan lebih dekat, selain lebih mudah dan pada masa menjimatkan kos.

Penulis memulakan ekspedisi dengan menaiki kereta api kayu lama di Stesen Keretapi Sungai Golok untuk ke bandar Yala membabitkan perjalanan selama tiga jam.

Sebaik tiba, penulis bertemu rakan basikal di Yala sebelum meronda di sekitar bandar terbabit.

Kemudian penulis dan rakan ke rumah dusun di puncak Bukit Yala milik penduduk tempatan untuk bermalam. Di sini penulis dihidangkan pemandangan pekan Yala, sempadan Betong dan Taman Negeri Royal Belum.

Pada keesokan hari, sebelum memulakan kayuhan ke Pattani kami singgah makan di sebuah kedai Melayu lama. Menariknya, pekerja kedai makan itu mengenakan busana tradisional.

Selepas itu, kami memulakan perjalanan menuju Pattani membabitkan perjalanan 90 kilometer dan hanya tiba di destinasi jam 8 malam.

Memasuki hari berikutnya, penulis dan rakan mengambil peluang menjelajah ke sekitar bandar Pattani termasuk ke Pattani Art Space yang menempatkan pelbagai arca berkisar perjuangan masyarakat wilayah terbabit.

BEREHAT di laluan pantai Saiburi sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
BEREHAT di laluan pantai Saiburi sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Penulis turut mengambil peluang menikmati makanan tradisional yang unik dan menarik.

Pada sebelah malam, penulis ke kedai barangan terpakai terbesar di Pattani sebelum bermalam di rumah penduduk setempat.

Pada hari ketiga, penulis meneruskan kayuhan ke Saiburi membabitkan perjalanan sejauh 80 kilometer.

Penulis memilih laluan pesisir pantai Saiburi sambil menikmati keindahan pemandangan suasana kampung nelayan.

Apa yang membuatkan penulis lebih teruja ialah keadaan tempat dan demografi penduduk di sini seperti di Terengganu. Malah rata-rata penduduk di sana juga boleh bercakap dengan dialek Terengganu.

Difahamkan menurut sejarah asal, sebelum ini nelayan dari Terengganu sering bermudik atau berdagang ke pantai ini.

Dalam perjalanan, kami turut singgah ke beberapa masjid termasuk masjid tertua di Pattani iaitu Masjid Aur di Kampung Manang Yong, Masjid Kerisik dan 'Pattani Central Mosque.'

Hari keempat, penulis berkayuh ke Narathiwat membabitkan perjalanan sejauh 70 kilometer dengan melalui laluan pesisir pantai sebelum selamat tiba sekitar 6 petang sekali gus menamatkan ekspedisi berkayuh tiga wilayah di Selatan Thailand itu.

MENJAMU selera bersama penduduk di Kampung Bannangseta, Yala.
MENJAMU selera bersama penduduk di Kampung Bannangseta, Yala.

Secara keseluruhan, ekspedisi sejauh 200 kilometer ini sangat bermakna bagi penulis kerana berpeluang mengenali dengan lebih dekat wilayah di Selatan Thailand.

Selain menikmati keindahan alam semula jadi, penulis dapat mengenali budaya masyarakat setempat dan merasai hidangan tempatan.

Satu lagi yang menarik, biarpun kita dihidangkan berita pergolakan yang belum berkesudahan namun penduduk di sana menjalani rutin harian seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Penulis gembira apabila penduduk setempat meraikan kehadiran kami seperti saudara sendiri.

Jika diberi peluang penulis tidak menolak kemungkinan kembali menjelajah wilayah di Selatan Thailand yang mempunyai keunikan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 7:00 AM