Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. - FOTO AP
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan. - FOTO AP
AFP

Ankara: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mencadangkan undian dilaksanakan di seluruh negara bagi menjamin hak wanita memakai hijab di institusi, sekolah dan universiti di negara itu.

Ia disifatkan amat penting bagi pemimpin beragama Islam, yang mana parti pemerintahnya yang berakar umbi Islam telah menarik balik larangan pemakaian tudung di institusi negara pada 2013.

Isu pemakaian hijab telah mendominasi perdebatan politik dalam beberapa bulan kebelakangan ini menjelang pilihan raya umum pada 2023 dan ia bakal menjadi antara cabaran paling serius kepada penguasaan dua dekad Erdogan ke atas Turkiye.

Erdogan sering merujuk kelonggaran bagi larangan itu sebagai contoh bagaimana partinya mewakili orang Turki beragama Islam berbanding parti sekular yang memerintah Turkiye sebelum kemunculan partinya pada 2002.

"Jika anda mempunyai keberanian, ayuh, mari kita bawakan isu ini kepada referendum. Biar negara membuat keputusan," kata Erdogan dalam ucapan yang ditujukan kepada pemimpin utama parti pembangkang, Kemal Kilicdaroglu.

Kilicdaroglu mengetuai Parti Republikan Rakyat (CHP), sebuah parti yang ditubuhkan oleh pengasas republik Turkiye moden sekular, Mustafa Kemal Ataturk.

Pemimpin CHP itu telah mencadangkan undang-undang untuk menjamin hak berhijab bagi mengurangkan sebarang kebimbangan bahawa pihaknya akan mengembalikan larangan itu.

Pemakaian hijab menjadi tumpuan perdebatan pada 1990-an tetapi sehingga hari ini tiada pihak mencadangkan pengharamannya di Turkiye yang penduduknya majoriti Muslim.

"Kami telah melakukan kesilapan pada masa lalu mengenai hijab.

"Sudah tiba masanya untuk meninggalkan isu itu," kata Kilicdaroglu pada awal bulan ini.

Menurut kumpulan pakar, Kilicdaroglu berusaha menunjukkan kepada pengundi yang taat kepada agama bahawa mereka tidak perlu takut memilih parti sekularnya tahun depan.

Sebagai tindak balas, Erdogan mencadangkan perubahan perlembagaan yang 'sedikit masa lagi' dibawa untuk kelulusan Parlimen yang mana partinya bersama rakan perikatan nasionalis memegang majoriti kecil.

Bagaimanapun, di bawah undang-undang Turkiye, perubahan yang ingin dilaksana memerlukan kelulusan daripada 400 Ahli Parlimen, tanpa memerlukan referendum.

Oleh itu, CHP perlu memberikan sokongannya.

"Jika tidak mendapat sokongan Ahli Parlimen, dengan 360 undi, satu cadangan boleh dikemukakan kepada rakyat.

"Jika isu ini tidak dapat diselesaikan di Parlimen, kami akan menyerahkannya kepada rakyat," kata Erdogan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 1:29 PM