Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya mempunyai persoalan mengenai tanggungjawab sebagai seorang anak dan isteri.

Ibu sering naik angin pada bapa kerana bapa gagal memberi kesenangan hidup berikutan beliau tidak sihat. Bapa cuba bantu meringankan bebanan ibu tetapi ia tidak dihargai, malah turut diherdik.

Saya sering menasihatkan bapa dan ibu supaya bersabar dan menerima kekurangan masing-masing. Lantaran sukar menerima pandangan membuatkan saya terasa hati dengan perilaku ibu.

Kini, saya tidak lagi menziarahinya, sebaliknya hanya bertemu bapa, bukan kerana benci tetapi kecewa melihat perilaku ibu yang marah atas perbuatan silam bapa sebelum ini.

Saya hanya mampu berdoa supaya ibu dilembutkan hati, berubah laku dan memaafkan bapa.

Soalannya, adakah saya berdosa kerana tidak mempedulikan ibu?

Meskipun ibu dan bapa tinggal sebumbung, ibu tidak pernah mempedulikan bapa kerana masih marah. Apakah hukumnya seorang isteri melakukan perbuatan itu terhadap suaminya?

DILA, Tanjung Malim, Perak

Berbaktilah pada ibu bapa. Menasihati dan membawa mereka ke jalan yang diredai Allah SWT bakti yang besar ganjarannya.

Firman Allah SWT bermaksud: “.dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan melahirkannya dengan susah payah.

“Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya.” (surah al-Ahqaf, ayat 15)

Janganlah sebagai anak terasa hati bahkan belas kasihan dan kasih kepada ibu bapa berdasarkan kehendak Allah SWT.

Sememangnya tindakan ibu atau isteri yang dinyatakan itu tidak bertepatan dengan Islam dan mengundang dosa.

Tiada seorang pun yang mahu ditimpa penyakit atau tidak mahu dosanya diampunkan.

Sebagaimana kita mengharapkannya, begitu juga mereka yang lain mengharapkan. Allah SWT telah perintahkan dalam firmannya bermaksud:

“Berikanlah pengampunan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang yang jahil (degil dengan kejahilannya).” (surah al-A’araf, ayat 199)

Namun, peranan anak berdoa dan menasihati secara terus atau mengadukan hal ini kepada orang lebih layak menasihati bukan kepada pihak ketiga yang mengeruhkan lagi keadaan. Semoga keluarga saudari kembali ceria dan bahagia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 1:39 AM