MASYARAKAT Islam berarak sempena Maulidur Rasul. FOTO Osman Adnan
MASYARAKAT Islam berarak sempena Maulidur Rasul. FOTO Osman Adnan
Datuk Dr Zahazan Mohamed

DALAM sambutan Maulidur Rasul, umat Islam diingatkan betapa tingginya jasa Baginda SAW.

Adakah memadai untuk membuktikan cinta kepada Nabi Muhammad SAW, kita mengadakan ceramah, perarakan, berselawat atau marhaban?

Shahrizan, Kuantan, Pahang

ORANG yang menyintai Rasulullah SAW akan mendapat kesempurnaan iman. Hal itu berdasarkan sabda Nabi SAW dalam Riwayat Muslim: “Seseorang tidaklah beriman (dengan sempurna) sehingga saya lebih dicintainya berbanding anak dan ibu bapanya serta manusia lain keseluruhannya.”

Sebagai seorang Muslim, wajib kita mencintai Nabi Muhammad SAW melebihi diri kita dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan kawan.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 6 yang bermaksud: “Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri.”

Sebaliknya, jika meletakkan diri, keluarga atau harta kekayaan lebih dicintai berbanding kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya mereka akan mendapat kemurkaan Allah.

Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah, ayat 24 bermaksud: “Katakanlah, jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.”

Seseorang mencintai Nabi SAW akan semakin mentaati dan mengikuti petunjuk Nabi. Antara kelebihan orang menyintai Baginda berbanding yang lain ialah mereka dianugerahi kemanisan iman.

Orang yang merasai kemanisan iman mudah beribadat serta melalui kehidupan dengan penuh keceriaan dan ketenangan. Sekiranya mendapat kesusahan, dia mampu bersabar.

Seandainya mendapat nikmat, dia bersyukur.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Tiga perkara yang akan membuatkan seseorang itu merasai kemanisan iman iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW adalah kekasih Allah dan mempunyai kedudukan paling tinggi di akhirat. Selain itu, kelebihan orang mencintai Nabi SAW akan bersama Baginda di sana.

Seorang sahabat bernama Anas bin Malik bercerita, ada seorang bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, bila berlakunya kiamat?”

Baginda menjawab: “Apa yang kamu persiapkan untuk menghadapinya?”

Orang itu menjawab: “Saya tidak mempersiapkan untuk menghadapi hari itu dengan banyak melakukan solat, banyak berpuasa dan banyak bersedekah. Tetapi yang saya siapkan ialah cinta Allah dan Rasul-Nya.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Anta ma’a man ahbabta. (Kalau begitu kamu akan bersama orang yang kamu cintai).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Anas berkata, saya tidak pernah berasa gembira sebagaimana rasa gembira mendengar sabda Nabi SAW: “Anta ma’a man ahbabta.” Anas pun berkata: “Jika begitu, saya menyintai Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar.

Saya berharap dapat bersama dengan mereka kerana cintaku kepada mereka, walaupun saya tidak mampu beramal seperti amalan mereka.”

Untuk membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW, kita hendaklah mengikut ajarannya dan beramal dengan sunahnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 31 bermaksud: “Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”

Begitu juga hendaklah beradab dengan cara memuji dan berselawat ke atas Baginda sebagaimana perintah Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkan salam kepadanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Seterusnya, jangan lupa sebarkan ajaran Baginda sepertimana sabdanya yang bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.” (Riwayat al-Bukhari)

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 2:01 AM