PERBUATAN setiap manusia akan tetap diadili. FOTO EPA
PERBUATAN setiap manusia akan tetap diadili. FOTO EPA
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap orang pasti mempunyai pengalaman memiliki buku laporan prestasi pembelajaran ketika di alam persekolahan. Tatkala diadakan sesi Temu Murni, ibu bapa dijemput hadir menemui guru di sekolah untuk diberi penerangan mengenai prestasi pembelajaran anak.

Bukan sekadar ditunjukkan markah setiap mata pelajaran, malah kelakuan anak ketika berada di sekolah turut dilaporkan kepada ibu bapa.

Begitulah situasi mendebarkan hati si anak. Mungkin ada kelakuan yang sudah tidak diingatinya, namun ia masih dalam ingatan guru.

Itu baru satu situasi menghantui diri anak mengenai pelajaran dan perilakunya ketika di sekolah. Bagaimana pula dengan catatan laporan sepanjang kehidupan yang bakal diadili Allah SWT di akhirat kelak?

Setiap orang tidak akan terlepas daripada melihat setiap perlakuan dilakukannya ketika hidup di dunia. Tidak ada satu pun terlepas kerana Malaikat sentiasa bersedia mencatat setiap perlakuan manusia.

Hal itu dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya, yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf, ayat 17-18)

Malaikat tidak pernah lalai melaksanakan tugas yang ditetapkan kepada mereka. Pada hari perhitungan kelak, mulut tidak lagi boleh berbicara.

Bukan saja setiap perlakuan dicatat di dalam buku amalan, malah tangan dan kaki dibenarkan Allah SWT untuk berbicara sebagai saksi atas perbuatan manusia ketika di dunia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin, ayat 65)

Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa umatnya adalah umat pertama dihitung amalannya pada hari akhirat kelak. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Kita adalah umat yang terakhir (di dunia), tetapi yang pertama dihisab (di akhirat).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sebagaimana kita pernah berasa khuatir dan takut menerima kad laporan prestasi pelajaran, maka sudah pasti jauh lebih mendebarkan tatkala kita bakal menerima buku amalan di akhirat kelak.

Tidak ada insan yang benar-benar mengetahui perilaku sebenar ketika di dunia melainkan dirinya sendiri. Pada hari akhirat kelak, segalanya akan ditunjukkan tanpa sebarang keculasan pada catatan berkenaan.

Maka, beruntunglah sekiranya buku amalan diterima dengan tangan kanan. Orang Mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT serta sentiasa menjaga tingkah lakunya di dunia akan menerima buku amalannya dari arah depan dan diterima dengan tangan kanannya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Kemudian sesiapa yang diberi menerima buku amalannya dengan tangan kanannya, maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan. Dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.” (Surah al-Insyiqaq, ayat 7-9)

Sebaliknya golongan yang ingkar terhadap perintah Allah SWT akan menerima buku amalan daripada tangan kiri. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesiapa yang diberi menerima buku amalannya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, maka dia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya. Dan dia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.” (Surah al-Insyiqaq, ayat 10-12)

Tidak ada seorang pun yang mampu lari daripada perhitungan yang adil itu. Bagaimana keadaan orang yang ingkar terhadap Keesaan Allah SWT tatkala menerima buku amalan mereka?

“Dan buku-buku amalan juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu berasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa buku ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.” (Surah al-Kahfi, ayat 49)

Ingatlah, perkara itu bukan perkara kecil dan boleh dikesampingkan. Ia penentu kepada masa depan kita di akhirat.

Maka, bagi orang yang berfikiran waras, bersiap sedialah dengan melakukan banyak amal kebaikan supaya segala yang baik memenuhi buku amalan kelak.

Bertaubatlah kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani atas setiap hamba-Nya yang ingin kembali kepada-Nya.

Tutuplah keaiban orang lain ketika hidup di dunia kerana kelak Allah SWT akan menutup keaiban kita di akhirat tatkala dibentangkan buku amalan untuk dibuat perhitungan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dan sesiapa yang menutupi (aib) seorang Muslim, Allah akan tutupi keaibannya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba-Nya menolong saudaranya.” (Muttafaq ‘alaih)

Sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT dan menutup keaiban saudara sesama Islam, mudah-mudahan ia dapat membantu kita memperoleh buku amalan terbaik dengan izin-Nya jua.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 12:17 AM