SUKARELAWAN Lizzi Love menunjukkan potret Sukumaran di Penjara Kerobokan di Denpasar, Bali, semalam.
SUKARELAWAN Lizzi Love menunjukkan potret Sukumaran di Penjara Kerobokan di Denpasar, Bali, semalam.

Jakarta: Hukuman mati ke atas dua warga Australia yang ditangkap di Bali pada 2005 ketika cuba menyeludup lapan kilogram heroin ke luar Indonesia akan dilaksanakan bulan ini, kata pegawai kerajaan semalam.

Myuran Sukumaran dan Andrew Chan adalah antara lapan banduan yang sedang menunggu giliran berdepan skuad penembak tepat pihak berkuasa Indonesia selepas rayuan pengampunan mereka ditolak Presiden Jokowi.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Armanatha Nasir, pihaknya dimaklumkan mengenai penolakan itu oleh peguam di Bali.

“Ia juga sudah dimaklumkan kepada Kedutaan Australia,” katanya.

Sukumaran dan Chan adalah sebahagian daripada rangkaian penyeludup dadah dikenali sebagai Bali 9 yang ditangkap pihak berkuasa Indonesia.

Sejak dilantik sebagai presiden, Jokowi enggan bertolak-ansur dengan pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan dadah walaupun dikecam oleh beberapa negara lain.

Kata Armanatha, isu itu tidak dilihat dari sudut politik atau diplomatik.

“Kami hanya menegakkan undang-undang dan kami tidak bermusuh dengan mana-mana negara,” katanya.

Bulan lalu, Indonesia melaksanakan hukuman mati ke atas enam tahanan warga Brazil, Malawi, Belanda, Nigeria dan Vietnam.

Antara banduan yang bakal berhadapan hukuman sama ialah dari Brazil, Perancis, Ghana, Indonesia, Nigeria dan Filipina. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:12 AM