Denpasar: Warga Australia yang dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup dadah, Myuran Sukumaran (gambar), gagal mendapat pengampunan daripada Presiden Jokowi.

Media Australia kelmarin melaporkan, Jokowi menandatangani dikri supaya hukuman mati anggota Bali Sembilan itu diteruskan.

Sukumaran ditangkap ketika cuba menyeludup 8.3 kilogram heroin dari Bali ke Australia pada 2005.

Dia mengemukakan permohonan mendapatkan pengampunan kepada pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Melalui Dikri Presiden ditandatangani Jokowi pada 30 Disember lalu, kerajaan berpendapat tiada alasan kukuh untuk memberikan pengampunan terhadap pesalah.

Dikri itu turut menolak permohonan seorang lagi pesalah, Ang Kiem Soei yang dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Daerah Tangerang pada 2003.

Warga Belanda itu disabitkan kesalahan mengedar dadah.

Jurucakap Mahkamah Daerah Denpasar, Hasoloan Sianturi berkata, Dikri Presiden itu diterima Rabu lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:24 AM