Amman: Amman menukar warna pakaian 5,000 pekerja sanitasi mereka kepada biru firus kerana warna asalnya, oren mirip yang dipakai tahanan kumpulan militan Negara Islam (IS) yang dipenggal dan diseksa dengan kejam.

Antara yang dibunuh kumpulan pelampau berkenaan termasuk juruterbang pesawat pejuang Jordan Muath al-Kaseasbeh yang dilihat memakai jumpsuit oren sebelum dimasukkan dalam sangkar besi dan dibakar hidup-hidup.

Rakaman video yang disebarkan IS awal bulan lalu menimbulkan kemarahan penduduk Jordan malah, kerajaannya berikrar membalas dendam.

Menurut jurucakap majlis perbandaran Amman, Mazen Farjeen kelmarin, keputusan itu dibuat atas permintaan orang ramai dan keluarga Muath.

Katanya, pakaian seragam baru akan mula ditukar secara berperingkat bermula 20 Mac ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:00 AM