NORSAHADA menunjukkan ketumbuhan di mata kanan anak bongsunya yang disahkan barah.
NORSAHADA menunjukkan ketumbuhan di mata kanan anak bongsunya yang disahkan barah.
Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu : Tiada apa yang mampu dilakukan Norsahada Razali, 29, melainkan meminta sedekah demi sesuap nasi untuk empat anaknya termasuk seorang anak perempuan berusia setahun yang menghidap barah.

Baginya, biarlah apa orang hendak kata, kerana apa yang penting anaknya tidak kelaparan.

"Saya hanya mahu membesarkan anak dan beri mereka makan kerana jika saya tidak beri mereka makan, tidak ada siapa yang sudi membantu," katanya ketika ditemui Harian Metro, pagi tadi.

Kisah Norsahada tersebar di Facebook sejak kelmarin selepas seorang pelanggan di sebuah pasar raya di daerah ini membuat catatan mengenai wanita itu yang mengharap ihsan orang ramai sambil meriba anaknya di tepi eskalator pasar raya itu.

Norsahada berkata, dia terpaksa mengemis selepas suaminya yang mencari pekerjaan di Singapura hilang tanpa khabar berita sejak setahun lalu.

Katanya , sebelum ini dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu rumah sejak lebih setahun lalu apabila doktor mengesahkan ketumbuhan di mata kanan anak bongsunya, Nor Anis Mohamad adalah barah sejak anaknya itu berusia empat bulan.

"Ketika Nor Anis berusia lapan bulan, suami saya pergi ke Singapura untuk mencari kerja yang lebih stabil, tetapi selepas itu dia tidak pernah pulang dan bertanya khabar kami sekeluarga.

"Selepas itu, kehidupan saya dan anak berubah. Untuk meneruskan kehidupan seharian, saya terpaksa mengharapkan belas ihsan orang lain selain terpaksa menumpang di rumah ibu mentua di Kampung Lorong Beringin, di sini," katanya.

Menurutnya, setiap hari dia bersama anak bongsunya mengemis di pasar raya itu selepas Asar sehingga sebelum Maghrib.

"Dengan wang yang diperoleh hasil ihsan orang ramai, saya dapat menyara tiga anak berusia 11,9 dan 7 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota dan perbelanjaan seharian mereka, namun dalam jumlah yang amat terhad.

"Selain itu, sebulan sekali saya perlu membawa Nor Anis mendapatkan rawatan penyakit barahnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Katanya, dia pernah membuat permohon dari pelbagai pihak untuk mendapat bantuan, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diperoleh.

"Daripada terus mengharapkan bantuan itu, saya terpaksa berusaha sendiri dengan mengharapkan ihsan dari orang ramai.

“Bagaimanapun, saya masih berusaha mencari pihak yang sudi menghulurkan bantuan supaya penyakit barah anak saya dapat diubati," katanya.

Sesiapa yang sudi membantu, boleh hubungi Norsahada ditalian 012-9494408

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 10:17 PM