NORSAHADA bersama anak-anaknya di rumah mereka di Kampung Lorong Beringin, Jalan Salor Lama.
NORSAHADA bersama anak-anaknya di rumah mereka di Kampung Lorong Beringin, Jalan Salor Lama.

Kota Bharu: “Alhamdulillah, sejak lewat malam (semalam) saya tak putus-putus menerima panggilan telefon.

“Masing-masing mahu menghulurkan bantuan. Syukur kepada Allah,” kata Norsahada Razali, 29, yang terpaksa mengemis menyara empat anak termasuk seorang menghidap barah.

Norsahada berkata, akan menggunakan bantuan daripada orang ramai itu untuk keperluan anaknya terutama bayinya berusia setahun Nor Anis Mohamad yang menghidap barah sejak usia empat bulan.

Katanya, tidak menyangka masih ramai yang prihatin dengan nasib golongan sepertinya, malah sudah menerima panggilan daripada lebih 30 individu yang berkehendakkan maklumat penuh dirinya.

“Sejak Harian Metro melaporkan kisah saya, ramai juga individu hubungi dakwa dari Melaka, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan banyak lagi mahu bantu.

“Ramai minta nombor akaun bank untuk masukkan duit. Syukur kerana saya tidak sangka ramai yang prihatin dan berhati mulia.

“Alhamdulillah ini rezeki anak dan saya akan gunakan untuk mereka terutama anak bongsu yang sakit,” katanya yang turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia selain Harian Metro (HM) yang menyiarkan kisahnya.

Akhbar dan portal HM menceritakan kisah Norsahada yang terpaksa mengemis dan meraih simpati orang ramai untuk menyara hidup dia lima beranak selepas suaminya yang mencari pekerjaan di Singapura hilang tanpa khabar berita sejak setahun lalu.

Norsahada tidak menafikan turut menerima panggilan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Bharu yang mahukan maklumat mengenai keluarganya.

“Saya diminta hadir ke pejabat JKM esok (hari ini). Insya-Allah saya akan cuba datang dan beri kerjasama,” katanya.

Pengarah JKM Kelantan Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata, sudah mengarahkan pegawainya menyemak permohonan Norsahada dan membantu mengikut keperluan keluarga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:22 AM