Norsahada dihubungi lebih 30 orang yang mahu membantu selepas kisahnya tersiar dalam laman web Harian Metro malam semalam
Norsahada dihubungi lebih 30 orang yang mahu membantu selepas kisahnya tersiar dalam laman web Harian Metro malam semalam
Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu : "Saya mula menerima panggilan telefon daripada orang ramai lewat malam tadi selepas berita mengenai kisah saya tersiar dalam laman web Harian Metro.

“Sehingga hari ini lebih 30 individu menghubungi saya untuk menghulurkan bantuan. Terima kasih Harian Metro dan rakyat Malaysia kerana prihatin dengan nasib saya sekeluarga,” kata Norsahada Razali, 29, ibu empat anak termasuk seorang anak perempuan menghidap barah berusia setahun yang terpaksa mengemis demi sesuap nasi.

Menurutnya, dia dihubungi individu prihatin bukan saja dari Kelantan, malah negeri lain seperti Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur .

Katanya, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Bharu turut menghubunginya, dan dia diminta hadir ke pejabat JKM.

"Mereka (JKM) berjanji akan usahakan bantuan kepada saya sekeluarga secepat mungkin dan akan pastikan bentuk bantuan yang akan disalurkan,” katanya.

Laman web Harian Metro malam tadi menyiarkan penderitaan Norsahada yang terpaksa mengemis selepas suaminya yang mencari pekerjaan di Singapura hilang tanpa khabar berita sejak setahun lalu.

Sebelum ini dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu rumah sejak lebih setahun lalu apabila doktor mengesahkan ketumbuhan di mata kanan anak bongsunya, Nor Anis Mohamad adalah barah sejak anaknya itu berusia empat bulan.

Setiap hari dia bersama anak bongsunya mengemis di sebuah pasar raya selepas Asar sehingga sebelum Maghrib.

Menurut Norsahada, dia akan menggunakan bantuan yang diterima untuk mengubati penyakit barah anak bongsunya dan perbelanjaan untuk tiga lagi anaknya berusia 11, 9 dan 7 tahun.

“Selepas kehidupan saya sekeluarga terurus semula, saya akan cari pekerjaan yang lebih sesuai dan tidak mahu mengemis lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya untuk menyemak permohonan yang dibuat Norsahada.

Katanya, hari ini pegawainya sudah menghubungi Norsahada dan dia diminta hadir ke pejabat JKM di Kota Bharu.

"Pegawai kita sudah hubungi Norsahada dan mungkin esok dia akan datang ke pejabat dan kita akan tentukan bentuk bantuan yang sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 7:05 PM