Oleh Roslen Fadzil

Usia bukan penghalang kepada seseorang penghibur untuk menyanyi di pentas. Lihat saja bagaimana hebatnya kemampuan Ayai Ilusi menjuarai program Gegar Vaganza sehingga menewaskan peserta lain yang lebih muda.

Malam kelmarin saya melihat beberapa lagi penghibur angkatan lama Melayu yang masih mempunyai kudrat dan bakat untuk menyanyi secara live. Ia terjawab dalam Konsert Rentak Retro bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dengan dipantau Lokman Ghani dan konduktor, Mohd Yazid Zakaria.

Sekali lagi IB kembali menganjurkan konsert nostalgia lagu lama khususnya 1970-an dan 1980-an dengan mengundang beberapa lagi penyanyi yang seakan-akan dilupai industri hiburan ‘main­stream’ hari ini, walhal dulu mereka barisan superstar yang sungguh hebat.

Ini termasuk Rahimah Rahim, J Mizan dan Dwen yang sudah lama tidak saya temui serta tonton di kaca TV dan persembahan pentas. Penyanyi lain, Ramlah Ram, Zaiton Sameon dan Datuk M Daud Kilau agak selalu juga saya temui di ibu negara.

Apa yang mengharukan saya, mutu vokal mereka semuanya masih baik terutama Rahimah. Dengan imej berturban dan mengenakan kaftan, Rahimah, 59, masih berdaya memukau penonton dengan lagu-lagunya seperti Masihkah Ada Cinta, Jika Begini dan Doa.

Daripada corak penampilannya, anak pasangan Allahyarham Rahim Hamid dan Seniwati Mariam dari Singapura itu nyata kelihatan anggun serta jelita. Bagi saya ini contoh sebenar penghibur yang masih ampuh seangkatan Salamiah Hassan, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Sanisah Huri dan Anita Sarawak.

Terdahulu, J Mizan yang menjadi artis pertama membuka tirai dengan lagu Tiada Jalan Kembali. Lagu itu memang satu daripada lagu 1970-an yang paling saya gemari sehingga kini. Dulu kalau sebut J Mizan peminat mesti ingat Julie Remie kerana mereka muncul sama waktu. Bagi saya, Allahyarham Kassim Masdor memang membuat pilihan yang tepat apabila menggilap dan mengetengahkan bakat J Mizan kepada label EMI ­Singapore.

Apabila Dwen muncul di pentas malam itu, memori saya terus teringatkan 1985 apabila baru tamat sekolah dan hendak melangkah ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arau. Melodi serta lirik Satu Penantian sangat sayu bagi saya dan selalu membuatkan saya teringatkan kehidupan lama di Perlis.

Begitulah hebatnya sesebuah lagu itu kerana popularitinya datang bersama peristiwa dalam hidup ramai manusia.

Selepas itu baru muncul Suatu Waktu Dahulu yang berjaya melayakkan Dwen ke final Anugerah Juara Lagu (AJL) yang pertama bersama Francisca Peter dan Azlina Aziz. Begitu hebatnya Dwen walaupun cuma dia adalah penyanyi ‘two hits wonder’.

Saya sempat bertanyakan Rahimah, apakah rahsia dia dapat mengekalkan stamina nyanyian yang bagus. Kata Rahimah atau nama timangannya ketika muda, Girl, dia tidak pernah berjauhan daripada nyanyian dan sentiasa ada undangan sehingga kini termasuk dari rantau Asia.

Lebih mengejutkan, Rahimah akui kalau dia mempunyai persembahan yang besar, dia masih menggilap suaranya dengan guru vokal sebagai persiapan. Nah, jangan ingat hanya penyanyi baru saja yang perlu mempertajamkan vokal, sebaliknya penghibur handalan seperti Rahimah pun masih merasakan dia perlu belajar secara konsisten.

Malam itu juga, perasaan tetamu termasuk VVIP tersentuh seketika dengan persembahan Zaiton Sameon.

Tidak perlu banyak lagu, hanya dua karya saja Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar bersama tayangan video di pentas ia sudah cukup untuk kita mengakui kehebatan Zaiton. Mengambil kira dia bangkit semula daripada musibah yang melanda dirinya, nyanyian Zaiton malam itu memang sampai ke lubuk hati saya.

Begitu juga dengan Ramlah Ram yang cukup bertenaga dengan Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi dan Datuk M Daud Kilau (Perigi Biru daripada filem Bawang Putih Bawang Merah). Mereka ini adalah insan yang dikurniakan bakat semula jadi dan digilap daripada beberepa pertandingan nyanyian.

Saya melihat semua yang menyanyi malam itu sebagai ‘material’ untuk segala macam anugerah serta pertandingan nyanyian di negara kita tidak kira AJL, AIM (Anugerah Industri Muzik), FFM (Festival Filem Malaysia), ASK (Anugerah Skrin TV3), ABPBH (Anugerah Bintang Popular BH), Kilauan Emas, Gegar Vaganza dan segala macam acara lagi. Tepuk dada, tanyalah selera kerana mereka semua masih berada di depan mata kita. - [email protected] / instagram: slenfadzil

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 10:58 AM