Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Nama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) menjadi sebutan apabila tampil membuat persembahan bersama bintang popular seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Anuar Zain, Rossa, Jaclyn Victor, Stacy, Endang S Taurina, Black, Elly Kassim serta artis 1960-an dan ramai lagi.

Bagi tahun ini, program tahunan Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur menampilkan tema Rentak Retro dengan membawakan persembahan bersama bintang 1970-an dan 1980-an seperti Datuk M Daud Kilau, J Mizan, Rahimah Rahim, Ramlah Ram, Dwen serta penyanyi undangan Zaiton Sameon.

Biarpun majlis sidang media berlangsung tanpa kehadiran semua artis terbabit, Ketua Pengarah IB Datuk Mohamed Juhari Shaarani tetap bersemangat bercerita mengenai konsert yang bakal berlangsung di Panggung Sari, IB pada 30 dan 31 Januari ini.

“Kami bercadang buat apresiasi kepada artis veteran seperti yang ditampilkan dalam edisi kali ini. Kami juga bercadang nak jemput Julie Remie untuk turut serta tapi gagal kerana dia enggan menyanyi lagi.

“Bagaimanapun, IB tetap berpuas hati kerana berjaya mendapatkan J Mizan, Datuk M Daud Kilau dan kami percaya populariti mereka masih kuat dalam kalangan peminat.

“Penyanyi yang terpilih boleh dikatakan popular pada zaman mereka dan mempunyai peminat yang ramai. Bahkan lagu nyanyian mereka dekat dengan kita dan masih popular sehingga sekarang,” katanya.

Konsert OTM Bersama Bintang akan menampilkan 40 pemuzik di bawah pimpinan Mohd Yazid Zakaria, manakala Lokman Ghani selaku pengarah persembahan.

Lokman mengakui sudah membuat persiapan rapi untuk persembahan selama dua malam itu dan mempunyai resepi sendiri bagi menarik penonton hadir menonton.

“Untuk tahun ini memang kami pilih artis kedua-dua era ini. Namun, saya tetap berpuashati dengan barisan artis yang ada dan percaya mereka dapat bawa peminat mengimbau kembali nostalgia lalu.

“Persembahan akan memakan masa satu jam 45 minit dan pengisian yang dibuat ialah setiap artis akan menyanyikan empat lagu masing-masing yang dipilih oleh kami.

“Mereka akan berduet serta menyanyikan sebuah lagu tribute untuk artis seangkatan mereka yang sudah meninggal dunia,” katanya.

Lokman berkata, pemilihan Zaiton pula berdasarkan penyanyi lagu Menaruh Harapan ini mempunyai kekuatan tersendiri dalam industri hiburan tanah air.

“Saya percaya Zaiton masih mampu menyanyi dengan baik. Kami pernah tampilkan dia dalam persembahan di Laman Santai dan ternyata nyanyiannya bagus. Cuma kami kenalah pantau juga aspek kesihatannya,” katanya.

Tiket untuk menonton berharga RM50 hingga RM300 sudah dijual dan boleh didapati dengan melayari laman web www.redtix.airasia.com atau menghubungi talian 03-87754666 dan 03-40265520 untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 6:00 AM