ZAITON juga berasakan kini bukan lagi masa untuk rakam lagu baharu
ZAITON juga berasakan kini bukan lagi masa untuk rakam lagu baharu
Norhayati Nordin

BIARPUN sudah bertahun-tahun menjalani kehidupan berseorangan dan sebatang kara, tiada istilah kesepian dalam diri penghibur veteran, Zaiton Sameon, 63.

Ia berikutan wanita cekal ini reda dengan takdir dan yakin Allah perancang terbaik. Baginya, kini waktu perbanyakkan amalan untuk bekalan diri.

Menurut penyanyi popular era 1980-an ini, dia juga tidak mahu terlalu mengingati kenangan lama. Baginya, cukup hanya ingat kepada arwah anak, Allahyarham Azirwan Abu Bakar dan ibu bapanya.

"Alhamdulillah, saya gembira dan bahagia dengan kehidupan yang Allah beri sekarang ini. Saya tenang dan rezeki untuk teruskan hidup pun masih ada.

"Saya didampingi orang penuh kasih sayang dan kerjaya nyanyian juga masih diterima masyarakat. Malah, lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar terus mendapat permintaan.

"Hingga saya tidak fikir perlunya rakam lagu baharu kerana sedar bukan senang nak peroleh karya yang bagus. Jadi, saya bersyukur hanya bersandar dengan lagu lama saja," katanya.

Mengulas mengenai perkahwinan, Zaiton berkata dia sudah terlalu berusia untuk berfikir mengenai jodoh. Katanya, tiada langsung hasrat nak kahwin lagi.

"Sekarang, saya cuma fokus pada penjagaan kesihatan. Maklumlah, bila sudah berusia pasti banyak yang perlu dijaga untuk menghindari sebarang penyakit.

"Allah sudah memberikan saya kesihatan yang baik dan perlulah menghargainya. Jadi, saya kini mengamalkan kehidupan sihat saja," katanya.

Mahir dalam memasak rendang, Zaiton juga berkata sejak beberapa tahun lalu, dia giat berniaga Rendang Dapur Zaiton Sameon hasil air tangannya.

Katanya, sambutan diterima daripada pelangga sangat baik dan menggalakkan. Bahkan, katanya hasil jualan rendang itu juga menjadi sebahagian wang simpanannya untuk kegunaan kecemasan kini.

LAGU Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar terus mendapat permintaan.
LAGU Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar terus mendapat permintaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 6:30 AM