ZAITON masih teringin rakam lagu baharu.
ZAITON masih teringin rakam lagu baharu.
Norhayati Nordin


SEBUT sahaja lagu Kabut Serangkai Mawar dan Menaruh Harapan, pastinya kelunakan vokal milik penyanyi, Zaiton Sameon, 64, menerjah di fikiran.

Malah, Zaiton yang pernah mencipta nama di persada industri hiburan tanah air pada era 1980-an hingga kini masih aktif menyanyi.

Cuma, akibat penularan pandemik Covid-19 dalam negara sejak tahun lalu turut menyebabkan Zaiton kini hilang punca pendapatannya melalui persembahan nyanyian.

Akur dengan ujian hebat yang dihadapi semua rakyat Malaysia, Zaiton berkata, dia hanya mampu berdoa serta mengikut segala arahan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Sebagai penyanyi, sudah tentu saya rindu nak buat persembahan menghiburkan penonton. Tapi, sekarang ini masanya tidak sesuai kerana situasi krisis Covid-19 pun belum nampak akan berakhir.

"Jadi, sabar sahaja menahan rindu di hati. Apapun, yang paling saya bersyukur keadaan kesihatan masih baik dan boleh melakukan amal ibadah untuk diri sendiri.

"Saya tenang di rumah, meski terpaksa berkurung menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi saya, apabila sudah makin berumur ini, kesihatan dan keselamatan perlu dijaga rapi,

" katanya.

Berbicara mengenai perancangan kerjaya nyanyian, Zaiton berkata, dia sepatutnya sudah merakamkan dua lagu baharu hasil ciptaan komposer Allahyarham A Ali pada tahun lalu.

"Bagaimanapun, rancangan kami tidak kesampaian kerana arwah meninggal dunia pada 21 November tahun lalu. Sejujurnya, saya memang nak ada lagu baharu yang dirakamkan.

"Ditambah, ia karya lagu daripada sentuhan A Ali pula. Sudah pasti, saya teringin merakamkannya kerana lirik lagu berkenaan ditulis Hafsah Hassan," katanya.

Ditanya juga mengenai tawaran bertanding dalam Gegar Vaganza (GV) yang banyak disertai penyanyi lama, Zaiton berkata, dia tidak akan menyertainya.

MENARUH Harapan, lagu yang pernah melonjakkan nama Zaiton sebagai penyanyi popular pada 1980-an.
MENARUH Harapan, lagu yang pernah melonjakkan nama Zaiton sebagai penyanyi popular pada 1980-an.

"Saya takkan masuk pertandingan itu (GV) kerana sudah berusia. Biar penyanyi lama yang lain menyertainya dan bukan saya. Dengan umur sekarang, dah tak sesuai sangat.

"Cukup saya menyanyi sahaja memenuhi undangan persembahan, tetapi bukan masuk bertanding. Saya tak nak bertanding menyanyi sebab tak layak dah pun," katanya.

Mengulas pernahkah dia mendapat tawaran GV, Zaiton berkata, setakat ini belum lagi.

Katanya, masih ramai penyanyi lama lain yang berminat dan biar mereka sahaja ambil peluang itu.

Menurut Zaiton, kini apa yang menjadi harapannya ialah dapat merakamkan satu lagu solo dan lagu duet baharu bersama rakannya, Syed Wafa seperti sudah dirancang mereka sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 6:30 AM