HEBAT bertenaga, Amir Masdi dan Akim menyanyikan Mentera Semerah Padi.
HEBAT bertenaga, Amir Masdi dan Akim menyanyikan Mentera Semerah Padi.
Norhayati Nordin


WALAUPUN pertama kali dianjurkan, Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro yang berlangsung malam kelmarin cukup hebat, mantap dan memukau, lebih-lebih lagi persembahan barisan artis yang mewarnai majlis anugerah itu.

Dari mula sehingga berakhir acara di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, suasana penuh meriah dengan kerdipan bintang-bintang sukan ternama dan berpotensi tanah air diraikan.

Apapun, seri kemeriahan malam anugerah berlangsung perlu ada suntikan nyanyian untuk hiburan penonton. Bagi tirai persembahan AIS ini, ia dibuka dengan nyanyian lagu tema, Kita Juara ciptaan komposer, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat dendangan duet Hariz Fayahet dan Bunga.

Kehangatan diteruskan dengan persembahan bertenaga daripada Dolla dengan single, Bad yang begitu memukau nyanyiannya, ditambah dengan kemunculan pemain bola jaring negara, Fariha Razak yang menyanyi bersama.

Siapa sangka atlet seperti Fariha boleh menyanyi dengan baik dan memiliki vokal yang sedap didengar. Secara tidak langsung, Fariha bukan sekadar mampu 'bersinar' di padang, namun atas pentas persembahan juga.

Tampil menggayakan busana gabungan warna merah dan hitam sebagaimana Dolla, harus dipuji juga Fariha mempunyai masa untuk berlatih menyanyi.

Justeru, hiburan sebenarnya terapi untuk diri bagi setiap orang tidak kira apa kerjaya mereka.

Pentas persembahan pastinya tidak lengkap dengan sketsa komedi. Ternyata gabungan pelakon dan pelawak juga 'menjadi' untuk memeriahkan suasana acara.

Gandingan Ropie, Salman al-Farisi, Atu Zero dan Noorkhiriah juga membuat penonton tidak kering gusi ketawa.

AINA Abdul tampil menyanyikan lagu Gemilang.
AINA Abdul tampil menyanyikan lagu Gemilang.

Paling menarik kemunculan istimewa bekas jaguh badminton negara, Hafiz Hashim yang turut bersama mereka.

Sketsa santai dan bersahaja mengenai sukan itu menunjukkan penggiat seni juga ambil tahu perkembangan arena sukan tanah air dan bersama-sama memberi sokongan demi terus membanggakan nama negara.

Apapun, kemunculan Aina Abdul yang ditunggu persembahannya memang mantap. Aura 'diva' penghibur Aina tidak mampu disangkal.

Walaupun tidak menyanyikan lagunya dan mendendangkan lagu Gemilang nyanyian asal Jaclyn Victor, vokal lantangnya tiada tandingan.

Rata-rata penonton di dalam dewan juga menghayati persembahan Aina itu. Hiburan yang dipersembahkan cukup mempesona, sedap mata memandang dan seronok telinga mendengar termasuk penonton di rumah.

Sebagaimana resmi yang bermula pasti berakhir, acara persembahan penutup AIS digegarkan dengan gabungan vokal Akim Ahmad dan Amir Masdi menyanyikan lagu Mentera Semerah Padi nyanyian asal Datuk M Nasir.

Kerancakan persembahan dua figura seni suara ini diperkuatkan lagi dengan kemunculan pesilat negara, Al Jufferi Jamari yang bersilat di atas pentas.

Sesungguhnya kombinasi hiburan dan sukan boleh digabungkan untuk menghadirkan satu persembahan kreatif dan amat berkesan.

HARIZ dan Bunga menyanyikan lagu tema AIS, Kita Juara.
HARIZ dan Bunga menyanyikan lagu tema AIS, Kita Juara.

Tidak lengkap acara atau majlis tanpa pengacara. Bagi pengacara pentas, tanggungjawab ini digalas Fahrin Ahmad dan Che Puan Sarimah Ibrahim yang sememangnya profesional dan berkaliber.

Manakala, hos permaidani merah ialah Marsila Hassan dan Hanif Miswan.

Tanggungjawab penyampai anugerah pula tidak calang-calang penampilannya. Ia membabitkan gabungan selebriti dan atlet seperti Nadhir Nasar, Goh Liu Ying (pemain badminton), Siti Khadijah Halim, Intan Serah (pemain futsal), Meerqeen, Datuk Leong Mun Yee (penerjun), Marsha Milan, Welson Sim (perenang), Erra Fazira dan Safee Sali (pemain bola sepak).

AIS anjuran julung kali Harian Metro mendapat tajaan utama daripada Gardenia Breakthru, disokong penaja bersama CIMB, UKM Shape dan TV9 sebagai penyiar rasmi yang menyiarkan secara langsung bermula jam 8.30 malam.

Sebanyak 10 anugerah dipertaruhkan iaitu Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan, Ikon Sukan Pempengaruh, Ikon Sukan Legenda dan Ikon Sukan Terbaik (anugerah utama).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 6:40 AM