MENGUNJUNGI destinasi diidamkan sememangnya sesuatu yang cukup mengujakan.
MENGUNJUNGI destinasi diidamkan sememangnya sesuatu yang cukup mengujakan.
Susunan Suliati Asri

Mendapat pencapaian yang baik dalam karier atau pendidikan adalah impian sebahagian besar orang. Namun, bagi anda yang punya hobi menikmati keindahan alam dan budaya dari seluruh penjuru dunia, bercuti di tempat baru jadi salah satu impian.

Menjelajah Raja Ampat, bersantai di pantai terindah dunia, sampai mengeksplorasi negara Skandinavia mungkin terlintas di benak anda.

Sayangnya, mewujudkan angan-angan tidak semudah mengimpikanya. Berjalan-jalan ke tempat impian tidak selalu berjaya dilaksanakan.

Masalah yang selalu ada membuatkan ramai orang kurang bergerak, lalu meninggalkan impian bercuti ke tempat yang diidam-idamkan selama ini.

Tip melancong minggu ini menyenaraikan beberapa sebab impian melancong anda gagal dan bagaimana ia boleh dielak jika sememangnya anda menghadapi masalah yang disenaraikan.

1. Masa

Rutin bekerja atau kuliah yang harus anda lalui saat ini sememangnya memerlukan anda meluangkan banyak masa. Baki masa yang sedikit biasanya menjadi punca ada berhenti mengejar impian bercuti.

Jujurnya, hal ini boleh anda anggap sebagai tembok yang menghalang langkah untuk merealisasikan impian anda.

Padahal, dengan perancangan masa yang baik, melaksanakan rutin harian anda sambil mempersiapkan diri mengejar impian adalah hal yang tidak mustahil.

Jika melancong impian yang ingin anda realisasikan, gunakan masa yang ada dengan bijak contohnya memanfaatkan masa cuti dengan bijak.

Sediakan juga masa yang tepat untuk mempersiapkan diri. Apabila sudah tahu masa yang tepat, jangan tunda lagi. Teruskan impian pergi bercuti di destinasi yang sudah lama diimpikan.

2. Modal

Dalam apa juga hal, merealisasikan angan-angan sememangnya memerlukan modal. Kalau anda punya keinginan untuk melancong secara solo, tentunya anda memerlukan modal yang banyak.

Ini kerana, segala kos perbelanjaan sepanjang percutian solo adalah atas tanggungan anda seorang diri. Berbanding dengan bercuti bersama rakan yang membolehkan anda berkongsi membayar banyak benda bersama.

Dalam soal modal, pastikan modal anda mencukupi untuk merealisasikan impian anda ke destinasi percutian.

Selain modal kewangan, modal utama tentu saja tekad. Modal tekad ini bagaikan pemangkin yang dapat membantu anda menemukan jalan lurus untuk mengecapi impian anda.

Jika fikiran anda masih tidak tenang kerana impian belum terlaksana, cuba renungkan lagi. Jangan-jangan memang selama ini anda belum punya tekad yang kuat untuk melancong.

3. Tindakan serta-merta

Membiarkan pelbagai perancangan hanya menjadi sia-sia kerana tidak ada tindakan lanjut diambil untuk mewujudkannya adalah suatu kesalahan yang sangat sukar untuk ditebus kembali.

Mana tidaknya, perancangan yang dilakukan adalah sempurna dan hanya tinggal dilaksanakan saja. Namun, dek tidak ada tindakan serta-merta, semuanya hanya sia-sia.

Oleh itu, seimbangkan impian dan tindakan. Satu lagi, wujudkan sekarang!

4. Tidak berkongsi impian

Menceritakan impian kepada orang terdekat adalah langkah awal yang baik untuk menjadikannya nyata. Teman atau keluarga adalah orang yang berpotensi menyokong anda merealisasikan impian itu.

Dengan menceritakan impian, rakan dan keluarga juga akan berkongsi cerita dan kata-kata semangat yang mampu memberikan anda inspirasi dalam merealisasikan impian anda.

Masihkah ada di antara anda yang hanya memendam impian seorang diri?

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 5:00 AM