MOHD Fazli ketika ditemui di luar mahkamah. FOTO Yazit Razali
MOHD Fazli ketika ditemui di luar mahkamah. FOTO Yazit Razali
Oleh Murni Wan Omar


Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap pemandu teksi Mohd Fazli Azri Jamil, yang didapati bersalah membunuh kanak-kanak, Syafiah Humaira Sahari, 3 tahun iaitu anak teman wanitanya.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong, membuat keputusan itu selepas selesai mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Tertuduh sebelum ini terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan meminda pertuduhan terhadapnya kepada menyebabkan kematian kanak-kanak itu.

Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan sabitan bagi kesalahan membunuh terhadap tertuduh adalah tidak selamat berikutan terdapat keraguan siapa menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala kanak-kanak itu.

Mohd Fazli didakwa membunuh Syafiah Humaira, di sebuah padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali dekat sini, pada 6.30 petang, 25 Februari 2010.

Bagi perbuatan itu dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:40 PM