TERTUDUH ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. FOTO MUHD Zaaba Zakeria
TERTUDUH ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. FOTO MUHD Zaaba Zakeria
Sarah Zulkifli


KELINDAN lori dihukum penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, selepas mengaku salah merogol teman wanitanya yang berusia 14 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shahrul Imam Abdul Rahman, 21 dan memerintahkan hukuman penjara dari tarikh tangkap, 17 Oktober 2016.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sebuah rumah, di Desa Mentari, di Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang, 3 Mac 2016.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung kedua ibu bapanya selain perlu menjaga bayi yang dilahirkan oleh teman wanitanya.

"Saya mohon diberikan peluang kedua kerana saya ingin bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kekerapan kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:45 PM