AFP

Beijing: Mahkamah di China buat kali pertama dalam sejarahnya mendengar perbicaraan diskriminasi di tempat kerja membabitkan seorang lelaki homoseksual yang dipecat selepas kecenderungan seksnya menjadi viral, semalam.

Plaintif dikenali sebagai Mu Yi yang juga pereka fesyen memfailkan kes di Mahkamah Rakyat Daerah Nanshan di Shenzhen November lalu.

Dia yang mengaku gay dirakam dalam satu video oleh polis pada Oktober lalu ketika bertengkar dengan seorang lagi lelaki homoseksual di Shenzhen.

Video itu menjadi viral tidak lama selepas itu malah ada pengguna Internet menghasilkan rakaman sendiri menggunakan kata-kata diucap ‘musuh’ Mu dalam video itu yang memakai ‘topi merah kecil.’

Mu dipecat seminggu kemudian dan memfailkan saman kerana mendakwa tindakan itu akibat seksualitinya didedahkan dalam video berkenaan.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan majikan Mu menafikan dakwaan itu, sebaliknya mendakwa ia disebabkan sikapnya yang buruk dan cara berpakaian yang tidak sesuai.

Sehubungan itu, Mu menuntut permohonan maaf dan bayaran pampasan sebanyak 50,000 yuan (RM29,000).

Peguam Mu, Liu Xiaohu berkata, keputusan kes itu - diberi jolokan Kes Topi Merah Kecil - dijangka dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Kami amat optimis keputusan berpihak kepada kami. Sudah pasti kes ini akan memberi kesan terhadap isu homoseksual di China,” katanya.

Homoseksualiti bukan lagi perbuatan jenayah di China sejak 1997 dan disenaraikan sebagai penyakit mental empat tahun selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:05 AM