ANDY MURRAY
ANDY MURRAY
Reuters

SHENZHEN, China: Pemain pilihan dari Britain, Andy Murray menewaskan juara bertahan David Goffin 6-3, 6-4 untuk mara ke suku akhir Terbuka Shenzhen.

Kemenangan Murray dalam tempoh 95 minit itu adalah pencapaian yang paling mengagumkan sejak dia kembali beraksi dalam siri jelajah selepas menjalani pembedahan pinggul pada Januari lalu.

“Saya dapat rasa daripada segi cara pukulan, ia adalah permainan terbaik saya dan saya tahu saya perlu memukul bola dengan baik jika mahu menang,” kata Murray.

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 31 tahun itu melakukan 15 servis ace dan berjaya meraih lima daripada lapan break point untuk melebarkan rekod pertemuan menentang Goffin kepada 6-0.

Murray yang mengumumkan bahawa tidak akan menyertai dua siri Masters di Shanghai dan Paris bulan depan akan menamatkan musimnya tahun ini di Beijing minggu depan.

Namun pemain kelahiran Scotland itu berkata dia gembira beraksi di Shenzhen pada penampilan ke-11 musim ini kerana memiliki permukaan gelanggang terbaik.

“Saya sukakan suasana di sini. Kebiasaannya ia sedikit lembap dan gelanggangnya membolehkan anda bergerak lebih pantas daripada yang biasa jika dibandingkan dengan siri jelajah yang lain.

“Saya suka permukaan gelanggangnya yang akan menyebabkan bola bergerak perlahan. Saya boleh mengawal bola dengan baik di sini,” katanya.

Murray akan berdepan pemain Sepanyol Fernando Verdasco, pemain yang menewaskannya pada pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat.

Verdasco menewaskan Taro Daniel dari Jepun 3-6 6-2 7-5.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 11:12 AM