BAS dikeluarkan dari lubang berkenaan. FOTO AFP
BAS dikeluarkan dari lubang berkenaan. FOTO AFP
AFP

Beijing: Enam maut, manakala 10 lagi hilang selepas pejalan kaki dan sebuah bas termasuk ke dalam lubang benam selepas jalan raya tiba-tiba mendap di Xining, di wilayah Qinghai.

Media tempatan melaporkan bahawa rakaman video menunjukkan bahawa orang ramai di hentian bas berlari dari lubang berkenaan.

Bas terbabit pula ‘melambung’ ke udara sebelum sebahagian daripada terbenam di dalam lubang berkenaan.

Beberapa orang terjatuh ke dalam lubang berkenaan, termasuk seorang daripadanya dipercayai kanak-kanak.

Rakaman sama menunjukkan insiden yang berlaku di luar sebuah hospital itu juga menyebabkan letupan.

Stesen penyiaran CCTV melaporkan bahawa pasukan mencari dan menyelamat sudah dikejarkan ke lokasi.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, stesen sama melaporkan bahawa 16 individu dibawa ke hospital susulan kejadian berkenaan.

Berdasarkan laporan awal, lubang berkenaan mungkin terbentuk akibat kerosakan paip air bawah tanah.

Lubang benam bukan perkara baharu di China dengan punca kejadian lazimnya disebabkan oleh kerja pembinaan.

Pada 2016, sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan terjatuh ke dalam lubang benam di tengah wilayah Henan.

Pada 2013, lima maut selepas lubang benam sebesar 10 meter terbentuk di pintu masuk kawasan industri di Shenzhen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 12:27 PM