PEMAIN negara melakukan proses pemulihan di kolam renang hotel penginapan.
PEMAIN negara melakukan proses pemulihan di kolam renang hotel penginapan.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Johor Bahru: Tiada keputusan lain dituntut pengendali skuad Projek 2016 Arul Selvaraj selain kemenangan ke atas Pakistan pada perlawanan terakhir Piala Sultan Johor hari ini bagi memburu tempat beraksi pada penentuan tempat ke-3/4.

Selepas empat perlawanan yang berlangsung secara liga sepusingan, skuad negara sekadar meraih empat mata untuk menduduki tempat kelima hasil seri 2-2 dengan Argentina serta mencipta kejutan 3-2 ke atas Australia.

Dua lagi perlawanan menyaksikan Malaysia tewas kepada Britain dan terbaharu rebah di tangan juara bertahan, India kelmarin.

“Sudah tentu kami akan turun dengan misi untuk menang bagi mencerahkan peluang beraksi dalam penentuan tempat ke-3/4.

“Saya jangkakan perlawanan itu seperti bertemu India. Dua perlawanan ini iaitu bertemu India dan Pakistan sebenarnya cukup penting kerana mereka akan ditemui sekali lagi pada saingan Piala Remaja Asia di Kuantan bulan depan,” katanya.

Arul juga berkata, masih ada beberapa ‘senjata’ yang belum digunakan pada saingan Piala Sultan Johor kerana mahu ‘menyimpannya’ untuk saingan Piala Remaja Asia.

“Kami tidak akan gunakan semua senjata di sini terutamanya menerusi pukulan sudut penalti.

“Kami mahu lawan berteka-teki dan memikirkan kekuatan dimiliki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 6:35 AM