AKSI perlawanan persahabatan antara pemain Ckuad Projek 2016 dan pasukan senior.
AKSI perlawanan persahabatan antara pemain Ckuad Projek 2016 dan pasukan senior.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Belumpun bermula saingan Piala Sultan Johor, ketua jurulatih Skuad Projek 2016 Arul Selvaraj sudah berdepan kesukaran apabila kehilangan dua tonggak utama untuk kejohanan memasuki edisi kelima itu.

Dua pemain dimaksudkan itu ialah penyerang Muhd Sufi Ismat Rohulamin serta pemain tengah Rafizul Ezry Mustafa yang mengalami kecederaan hamstring.

“Kedua-duanya pasti tidak akan beraksi di Johor. Kami akan cuba sedaya upaya untuk pastikan mereka berdua cergas sepenuhnya dan mampu bermain pada saingan Piala Remaja Asia di Kuantan bulan depan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan pemanas badan kedua bersama skuad senior negara yang menyaksikan anak buahnya tewas 2-3.

Jelas Arul, meskipun kecewa gagal mendapatkan khidmat kedua-dua pemain tonggak itu, beliau tetap yakin barisan pemain sedia ada mampu menggalas tugas diberikan.

“Apapun kami sudah cukup bersedia untuk beraksi di Piala Sultan Johor. Hanya beberapa kelemahan perlu diperbaiki segera.

“Senarai 14 hingga 15 pemain sudah berada dalam perancangan tapi baki tiga lagi pemain perlu saya fikirkan sebaik-baiknya.

“Banyak perkara perlu diambil kira dalam memilih baki tiga pemain ini. Antaranya apakah kelebihan mereka dan sumbangan yang mampu diberikan kepada pasukan,” katanya.

Hari ini Arul akan mengumumkan senarai 18 pemain untuk ke Piala Sultan Johor yang akan berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober.

Pada perlawanan semalam, Shahril Saabah meletakkan Skuad Projek 2016 di depan pada minit ke-8 tetapi Harvinder Singh menyamakan kedudukan enam minit selepas itu.

Kapten skuad senior negara Muhammad Razie Rahim meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti minit ke-40 dan 41 sebelum Firdaus Omar merapatkan kedudukan menerusi jaringan padang minit ke-43.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 7:37 AM