Penyebaran maklumat gangguan bekalan air 36 jam di seluruh Selangor di WhatsApp dan FB hari ini adalah tidak benar.
Penyebaran maklumat gangguan bekalan air 36 jam di seluruh Selangor di WhatsApp dan FB hari ini adalah tidak benar.

Penyebaran maklumat gangguan bekalan air selama 36 jam di seluruh Selangor menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook (FB) hari ini adalah tidak benar.

Ini kerana, gangguan selama 36 jam yang berlaku adalah merujuk kepada kerja kecemasan membabitkan pembaikan paip pecah di jajaran paip utama bersaiz 1200MM dari Loji Semenyih ke Bandar Bukit Mahkota, Sepang.

Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata, kerja kecemasan itu hanya membabitkan gangguan bekalan air di sebahagian kawasan di daerah Hulu Langat dan Sepang saja.

“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, kerja kecemasan itu sudah disiapkan sepenuhnya.

“SYABAS menjangkakan bekalan air di semua kawasan terbabit akan pulih sepenuhnya menjelang 8 pagi esok seperti yang dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh SYABAS menerusi media massa pada 20 Januari 2015,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, SYABAS menyeru kepada semua pengguna supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau sengaja mencipta berita palsu yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan orang ramai khususnya kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Layari laman web SYABAS di www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 2:28 PM