Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Bekalan air di Gombak, Klang, Shah Alam, Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat, Kuala Langat dan Kuala Selangor yang terjejas berikutan pencemaran diesel di Sungai Selangor malam tadi dijangka pulih secara berperingkat-peringkat bermula jam 8 pagi esok.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihentikan sementara operasinya jam 8 malam tadi kerana berlakunya pencemaran air mentah di Sungai Selangor akibat tumpahan cecair hidrolik.

Menurutnya, penutupan selama 12 jam keempat-empa t LRA yang membekalkan 1,350 juta liter air atau kira-kira 60 peratus keperluan bekalan air terawat menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami tekanan air rendah dan terputus bekalan air.

"Proses pemulihan bekalan tidak dapat dipercepatkan memandangkan ketiadaan sumber bekalan air alternatif di samping rizab simpanan air yang kecil.

"Bagi mengurangkan kesulitan pengguna, lori tangki sudah digerakkan bagi mengagihkan bekalan air kecemasan namun disebabkan kemudahan bantuan bekalan air kecemasan milik SYABAS seperti lori tangki dan tangki air statik terhad.

"Keutamaan akan diberikan kepada pengguna kritikal seperti hospital dan pusat dialisis," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 1:17 PM