Shah Alam: Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mengumumkan sehingga jam 1 petang semalam, sebanyak 883 daripada 968 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual pulih sepenuhnya.

Ini berikutan keempat-empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang yang mula beroperasi semula sejak jam 8 pagi kelmarin membolehkan kawasan terjejas sebelum ini menerima semula bekalan air seperti biasa.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata, gangguan yang berlaku ekoran insiden pencemaran Sungai Selangor akibat pembuangan sisa industri itu membabitkan tujuh wilayah.

"Wilayah itu ialah Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/ Shah Alam, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. Sementara baki kawasan yang belum pulih kini masih dalam proses pemulihan secara berperingkat.

"Bagi sesetengah kawasan penduduk yang berada di tempat tinggi termasuklah kawasan di penghujung sistem bekalan air, tempoh pemulihan bekalan air dijangka mengambil masa sehingga dua hari lagi untuk dipulihkan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, maklumat lengkap status pemulihan bekalan air mengikut kawasan dipaparkan di laman web rasmi SYABAS dan ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memudahkan pengguna.

Beliau berkata, pada masa sama, pihak SYABAS akan terus memantau situasi dan memaklumkan perkembangan terkini melalui media massa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:11 AM