Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Sungai Selangor sekali lagi dicemari kimia menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 serta Rantau Panjang ditutup menyebabkan jutaan pengguna air di Lembah Klang terjejas.

Operasi keempat-empat LRA terbabit terpaksa dihentikan selepas operator pengurusan bekalan air berkenaan, Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) mengesan tumpahan cecair hidrolik dalam air mentah di Sungai Selangor jam 8 malam kelmarin.

Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred bagaimanapun berkata, keempat-empat LRA itu beroperasi semula jam 8 pagi semalam.

Katanya, penutupan keempat-empat LRA berkenaan menyebabkan tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang masing-masing Gombak, Klang/Shah Alam, Petaling, Kuala Lumpur, Hulu Langat, Kuala Langat dan Kuala Selangor terjejas.

Menurutnya, penutupan selama 12 jam LRA berkenaan menyebabkan 1,350 juta liter air atau 60 peratus bekalan air tidak dapat disalurkan kepada pengguna.

"SYABAS menjangka bekalan air di kebanyakan kawasan yang terjejas pulih sepenuhnya berperingkat bermula jam 8 pagi esok (hari ini). Namun, kawasan tinggi dan di hujung sistem agihan dijangka pulih dalam tiga hari.

"Proses pemulihan bekalan tidak dapat dipercepatkan memandangkan ketiadaan sumber bekalan air alternatif manakala rizab simpanan air kecil. Bekalan air melalui lori tangki digerakkan dari semasa ke semasa kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata, memandangkan kemudahan bantuan bekalan air kecemasan termasuk lori tangki dan tangki air statik terhad, keutamaan akan diberi kepada pengguna kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Priscilla berkata, pengguna diminta menggunakan bekalan air kecemasan sebaik mungkin serta untuk keperluan utama sahaja dan SYABAS akan terus memantau situasi serta memaklumkan perkembangan terkini melalui media massa.

Ogos tahun lalu, jutaan pengguna di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air selepas Sungai Selangor dicemari tumpahan minyak berhampiran Country Homes, Rawang, dan memasuki Sungai Gong sebelum mengalir ke Sungai Gombak dan Sungai Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:05 AM