Petaling Jaya: Permintaan terhadap hartanah dalam kalangan Bumiputera dianggap rendah ketika ini agak perlahan berikutan kuasa beli yang rendah akibat ekuiti pemilikan yang tidak tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Reconsult Plt, Rozalina Rahim berkata, oleh yang demikian kawasan yang mempunyai kuota Bumiputera lebih tinggi adalah lambat untuk dijual atau disifatkan sukar untuk dijual.

“Kebanyakan kawasan mahal seperti Mont Kiara, Desa Park City, KLCC tidak dimiliki oleh Bumiputera. Malah, majoriti mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai pemilikan harta dan pelaburan serta bagaimana untuk melabur,” katanya pada Persidangan ‘Havoc Hartanah 2’, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital merangkap penulis Wa Tak Faham (WTF) 23 Hartanah Sebelum Berumur 30, Faizul Ridzuan.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera, inisiatif bual bicara dan perkongsian ilmu harus diadakan mengenai potensi hartanah serta bimbingan mengenai perihal terbabit.

Menurutnya, pihaknya dengan kerjasama pemain industri berkenaan menganjurkan ‘Havoc Hartanah 2’ pada 20 dan 21 September lalu menampilkan beberapa isu penting termasuk kaedah pelaburan hartanah, pembiayaan peribadi, bagaimana menguruskan hartanah dan topik berkaitan.

“Sesi yang diadakan di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay itu bertujuan memberi pengetahuan kepada orang ramai khususnya Bumiputera berkaitan ilmu memiliki perumahan yang tepat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:03 AM