PENYERTAAN Komuniti Perniagaan Bumiputera ditambah bagi menjayakan RMK11.
PENYERTAAN Komuniti Perniagaan Bumiputera ditambah bagi menjayakan RMK11.
Oleh Hafiz Ithnin dan Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) agenda Komuniti Ekonomi Bumiputera (BEC) terus dipertingkatkan yang tersenarai di dalam Bidang Fokus E untuk pemperkukuh peluang golongan Bumiputera bagi meningkatkan pemilikan kekayaan.

Di dalam bidang fokus itu, terdapat lima perkara disenaraikan iaitu memperkasa modal insan, meningkatkan penguasaan efektif Bumiputera dan mengekalkan pemilikan korporat, memperluas syer pemilikan kekayaan, memperkasa Komuniti Ekonomi Bumiputera dan mengukuhkan keberkesanan penyampaian program berorientasikan Bumiputera.

Menurut buku RMK11 berkata, dalam memperkasa modal insan, kejayaan program sisipan pekerja seperti Program Peneraju Skil di bawah YPPB akan diperluas bagi meningkatkan kemahiran Bumiputera.

Katanya, menjelang 2020, penyertaan Bumiputera dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi disasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus.

“Pemain industri dalam sektor berimpak tinggi akan memainkan peranan penting menerusi kerjasama dengan institusi latihan kemahiran untuk menyesuaikan modul latihan mengikut keperluan industri .

“Pemain industri ditawarkan insentif yang bersesuaian untuk menggalakkan kerjasama kukuh dengan institusi latihan kemahiran yang berkaitan. Program Peneraju Profesional yang dijalankan oleh YPPB dan program lain seumpamanya akan diperluas untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan profesional bertauliah seperti akauntan, penganalisis kewangan dan jurutera,” katanya.

Program pengukuhan ekuiti korporat akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dengan penguasaan efektif seperti pelaburan ekuiti persendirian oleh EKUINAS, Skim Jejak Jaya Bumiputera dan Program Pembangunan Usahawan Korporat (TheBaron).

PNB terus mempelbagaikan portfolio pelaburan ASB di pasaran hartanah untuk memaksimumkan pulangan kepada pemegang unit.

Manakala agensi dan institusi Bumiputera lain akan memberikan tumpuan kepada pengambilalihan syarikat yang berpotensi tinggi dan PLC yang menguntungkan.

Dalam tempoh RMKe-11, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dengan penguasaan berkesan dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 30 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:27 AM