Kuala Lumpur: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd mengumumkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 3.30 sen seunit untuk Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi 2015.

Syarikat terbabit dalam kenyataan bersama berkata, pengagihan pendapatan itu bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2015 dan dikecualikan cukai, tetapi perlu dibayar zakat.

“Ia akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang unit pada 15 April 2015. Bagi ahli skim pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 KWSP,” katanya.

AHB adalah dana yang disokong aset patuh Syariah dengan harga tetap sebanyak RM1 seunit dan pelabur Bumiputera boleh menyertai pemilikan benefisial aset hartanah dengan menyediakan aliran pendapatan yang konsisten kepada mereka. Dana itu boleh dilanggan di cawangan Maybank di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:16 AM