MOHD Nor Azam (kiri) bersama pemain skuad Old Boys.
MOHD Nor Azam (kiri) bersama pemain skuad Old Boys.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad Old Boys Seremban memperaga aksi mantap menewaskan Parit Junior FC, 2-0 sekali gus muncul juara Kejohanan Bola Sepak Lima Sebelah Akar Umbi TMS merebut Piala Tengku Datuk Seri Hasmudin Tengku Othman di Stadium Mini Kuala Pilah, baru-baru ini.

Old Boys Seremban membawa pulang trofi dan cenderamata selain hamper sumbangan penganjur kejohanan, Akademi Bola Sepak TMS Old Boys.

Kejayaan itu lebih manis lagi apabila penyerang Old Boys Seremban Samsuri Zamani Shahrul Azhar, 10, dinobat pemain terbaik.

Sebanyak 30 pasukan B-12 dari setiap daerah Negeri Sembilan selain pasukan luar seperti Bangi dan Kajang mengambil bahagian.

“Saya puas hati dengan kesungguhan pemain hingga kami muncul juara biarpun pada awalnya kami bukanlah pasukan pilihan. Kejayaan ini hasil kesungguhan dan kerjasama sepasukan,” kata Samsuri Zamani dari Sekolah Kebangsaan Taman Seri Pagi, Senawang.

Presiden Akademi Bola Sepak TMS Old Boys Mohd Nor Azam Abdullah berkata, kejohanan tahunan itu bertujuan mencungkil bakat baru di peringkat akar umbi dalam usaha memajukan bola sepak negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:11 AM