PESERTA akademi TMS turut menyertai program IMCC.
PESERTA akademi TMS turut menyertai program IMCC.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Meskipun penubuhan banyak akademi bola sepak akar umbi dikaitkan dengan tujuan meraih keuntungan, Akademi Bola Sepak TMS yang berpangkalan di Seremban mendapat sambutan menggalakkan ibu bapa.

Malah, akademi itu yang bernaung di bawah Kelab Bola Sepak TMS Old Boys tidak pernah berdepan masalah terutama daripada ibu bapa sejak mula ditubuhkan pada 2010.

Presiden Mohd Nor Azam Abdullah berkata, kelab itu berdaftar secara sah dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan tempatan dan tidak berdepan masalah sejak itu.

Katanya, ketika ini mereka mempunyai 350 pelatih yang mengikuti program latihan bagi kategori bawah 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun di lapan pusat latihan seluruh Negeri Sembilan.

“Ada 16 jurulatih mengendalikan program latihan pada setiap Sabtu dan Ahad serta cuti sekolah.

“Kami juga turut mengadakan Karnival Bola Sepak Tahunan TMS dengan mengadakan perlawanan antara pusat latihan. Selain itu, kami turut menghantar pemain menyertai kejohanan lain di luar negeri terutama dianjurkan kelab atau akademi bola sepak lain,” katanya.

Menurutnya, sepanjang akademi itu beroperasi, pihaknya tidak berhadapan masalah atau rungutan ibu bapa, sebaliknya mereka sentiasa memberikan sokongan padu kepada akademi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab membimbing pemain.

Nor Azam berkata, ibu bapa berpuas hati dengan pendekatan dilaksanakan akademi berkenaan apabila bakat pelatih digilap dengan baik demi menjadikan mereka pemain berpotensi.

“Peningkatan prestasi pelatih terserlah kerana majoriti pelatih berjaya mewakili pasukan bola sepak sekolah masing-masing termasuk Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS).

“Malah ada pelatih akademi ini terpilih menyertai Kem Bola Sepak West Ham United di England menerusi program Kem Bola Sepak 1MCC-Astro 2014/2015.

“Kami memberi peluang sepenuhnya kepada pelatih menunjukkan bakat dan kebolehan dalam bola sepak dan peluang diberikan sama rata,” katanya.

Nor Azam berkata, pihaknya tidak mengenakan caj tinggi, cuma RM50 bagi penyertaan dan RM20 bagi yuran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:28 AM