Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Seramai 3,295 warga Kementerian Pertahanan yang terbabit banjir menerima wang ehsan sebanyak RM500 seorang, membabitkan peruntukan sebanyak RM1,647,500.

Ia membabitkan seramai 1,289 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 1,227 veteran ATM dan 779 kakitangan awam Kementerian Pertahanan.

Kesemua penerima bantuan terdiri daripada mereka yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, buat permulaan, seramai 215 mangsa banjir warga kementerian di Pahang dan Terengganu termasuk anggota ATM yang bertugas di 4 Briged, 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak menerima bantuan itu.

Katanya, jumlah itu membabitkan 95 anggota ATM, 40 kakitangan awam dan 80 veteran ATM.

"Wang ehsan ini bertujuan meringankan beban mangsa banjir sekali gus menunjukkan keprihatinan dan rasa tanggungjawab pihak kementerian dalam

menjaga kebajikan kakitangannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 4:41 PM