Norlizah melawat mangsa di PPS SJKT Tajul. FOTO IHSAN KERAJAAN NEGERI JOHOR
Norlizah melawat mangsa di PPS SJKT Tajul. FOTO IHSAN KERAJAAN NEGERI JOHOR
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Seramai 224 mangsa banjir daripada 67 keluarga di Pusat Penempatan Sementara (PPS), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tajul di sini terpaksa menahan lapar lebih enam jam selepas makanan tengah hari tiba lewat, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh berkata makanan siap dimasak dihantar selepas pihaknya meminta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyegerakan penghantaran makanan ke PPS itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan negeri, berkata makanan tengah hari tiba di PPS itu pada jam 6 petang.

"Saya dimaklumkan di PPS ini terdapat kelewatan penghantaran makanan. Jadi, saya minta Pegawai JKM menghubungi pembekal makanan dan hantar dengan segera.

"Alhamdulillah pembekal makanan menghantar 280 pek makanan pada jam 6 petang. Saya harap perkara sebegini tidak berulang kerana ramai anak-anak kecil serta warga emas berlapar akibat sifat acuh tak acuh pembekal makanan," katanya dalam hantaran di Facebook.

Setakat pagi tadi, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tinggi dengan trend meningkat, seramai 4,707 orang membabitkan 1,289 keluarga ditempatkan di 26 PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 10:58 AM