PEMAIN China, Zhang Linpeng (tengah) melakukan percubaan ke arah pintu gol Uzbekistan.
PEMAIN China, Zhang Linpeng (tengah) melakukan percubaan ke arah pintu gol Uzbekistan.
Reuters

Brisbane: China menjaringkan dua gol dalam tempoh 13 minit untuk bangkit dan mengejutkan Uzbekistan 2-1 bagi menempah tiket ke suku akhir Piala Asia, semalam.

China memulakan kempen kali ini bukan sebagai pencabar takhta, tetapi selepas menang dua aksi awal Kumpulan B dengan bergaya, mereka kini memastikan tempat teratas kumpulan walaupun masih ada baki satu lagi perlawanan.

Ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama menentang pasukan pilihan kumpulan, China menyamakan kedudukan selepas 55 minit apabila Wu Xi menjaringkan gol sebelum pemain gantian Sun Ke meletakkan pasukannya di depan hasil gerakan solo menarik.

“Kemenangan ini berita baik kerana kami bermain dengan cantik,” kata jurulatih China bangsa Perancis Alain Perrin.

“Kami agak gemuruh pada awal permainan, tapi mula mendapat ruang selepas rehat apabila pencabar kami kepenatan.”

Uzbekistan yang mendahului hasil gol oportunis Odil Ahmedov, tidak berupaya mencari jaringan penyamaan dan kini akan berdepan Arab Saudi dalam aksi terakhir kumpulan di Melbourne Ahad ini bagi menentukan kedudukan naib juara kumpulan.

Sebagai juara Kumpulan B, China akan menentang naib juara Kumpulan A, sama ada Australia atau Korea Selatan. Naib juara Kumpulan B akan menentang juara Kumpulan A.

Arab Saudi yang tewas 0-1 kepada China pada hujung minggu lalu, masih berupaya layak selepas menang 4-1 ke atas Korea Utara yang tersingkir.

Odil memberikan Uzbekistan pendahuluan selepas 22 minit dengan menjaringkan gol ketika China sibuk mengasak.

“Kami lebih baik sebelum masa rehat, tapi selepas melepaskan gol pertama, China menjadi lebih kuat dan itu yang mengubah arus perlawanan,” kata jurulatih Uzbekistan Mirjalol Qosimov.

“Kami tewas hari ini kerana kesilapan sendiri.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:31 AM