Canberra: Sun Ke menjaringkan dua gol ketika membantu China menewaskan Korea Utara 2-1 di Canberra, semalam sekali gus membantu pasukannya meraih keputusan paling cemerlang sepanjang penyertaan di Piala Asia.

Sun yang menjaringkan gol kemenangan ketika bertemu Uzbekistan, menjaringkan gol selepas 45 saat hasil hantaran jauh yang kemudian disempurnakan olehnya.

Dia meledak gol kedua sebelum babak pertama berakhir apabila menanduk masuk hantaran pemain pertahanan Jiang Zhipeng.

China yang sudah layak ke suku akhir selepas menewaskan Uzbekistan dan muncul juara Kumpulan B bertemu Australia pada aksi suku akhir, memenangi semua tiga perlawanan peringkat kumpulan Piala Asia buat kali pertama.

Korea Utara menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-56 selepas rembatan lemah Jong Il Gwan berjaya dipintas Zhang Linpeng, namun tertampan masuk oleh penyerang China, Gao Lin.

Korea Utara yang belum pernah memenangi Piala Asia sejak 1980, sepatutnya mampu menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian, tetapi tandukan Il Gwan tersasar.

So Hyon Uk juga hampir menyamakan kedudukan, tetapi rembatannya terkena palang ketika permainan berbaki 10 minit. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:47 AM