Reuters

Brisbane: Penyerang Korea Selatan, Lee Jeong-hyeop (gambar) menjaringkan gol tunggal untuk memberi kejutan terhadap Australia, 1-0 dalam perlawanan penting Kumpulan A dalam saingan Piala Asia semalam.

Jeong-hyeop yang dipanggil semula menyertai kesebelasan utama selepas tidak beraksi dalam perlawanan menentang Kuwait memecah kebuntuan pada minit ke-32 apabila menyambut hantaran tepat daripada rakan sepasukannya, Lee Keun-ho.

Dia berjaya merembat bola ke gawang, berjaya melepasi penjaga gol Australia Mat Ryan yang melayangkan badan untuk menangkap bola, sekali gus memberi mata pendahuluan kepada pasukan pelawat.

Kedua-dua pasukan yang sudah menempah tiket ke suku akhir selepas memenangi dua perlawanan pertama Kumpulan A dan perlawanan itu akan menentukan lawan mereka di pusingan kalah mati.

Juara Kumpulan A akan menentang sama ada Arab Saudi atau Uzbekistan di Melbourne manakala naib juara akan berdepan China di Brisbane.

Kedua-dua pasukan mengambil pendekatan berhati-hati, merehatkan beberapa pemain utama dalam cuaca panas lembab di Lang Park, Brisbane yang turut ‘diserang’ ribuan kupu-kupu.

Australia hanya perlu seri perlawanan itu untuk mendahului kumpulan tetapi jaringan Lee memberikan kelebihan kepada pelawat sebelum separuh masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:07 AM