PEMAIN Jepun meraikan kejayaan selepas mara saingan kalah mati. FOTO/AFP
PEMAIN Jepun meraikan kejayaan selepas mara saingan kalah mati. FOTO/AFP
AFP

AL-AIN: Gol kemenangan jaringan Tsukasa Shiotani mengesahkan kedudukan Jepun sebagai juara kumpulan, manakala Oman lolos ke pusingan kalah mati sebagai pasukan ketiga terbaik selepas saingan peringkat kumpulan Piala Asia.

Di Abu Dhabi, Almoez Ali mengumpul tujuh gol selepas tiga perlawanan susulan kemenangan 2-0 Qatar ke atas Arab Saudi, tetapi Lubnan gagal melayakkan diri ke kelompok 16 terakhir walaupun menang 4-1 ke atas Korea Utara.

Dengan Piala Asia kali ini menampilkan 24 pasukan, peringkat kumpulan yang menampilkan 36 perlawanan menyaksikan juara bertahan Australia berdepan Uzbekistan dalam perebutan ke suku akhir, manakala Qatar bertemu Iraq dan Jepun menentang Arab Saudi.

Tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan bertemu Kyrgyzstan, China menentang Thailand, Iran berdepan Oman, Korea Selatan dengan Bahrain dan Jordan bertemu Vietnam.

Rembatan Shiotani memastikan Jepun mengumpul sembilan mata penuh sebagai juara Kumpulan F selepas menewaskan Uzbekistan 2-1, walaupun menukar 10 pemain daripada perlawanan sebelumnya.

“Ia bukan satu risiko (menukar 10 pemain),” kata pengendali Jepun Hajime Moriyasu. “Saya mahu menggunakan pemain-pemain ini hari ini.

“Sekarang perlawanan sukar menanti kami jadi saya rasa ia sesuatu yang baik apabila dapat menurunkan pemain-pemain ini dan mendapatkan kecergasan permainan.”

Oman melayakkan diri selepas menundukkan Turkmenistan 3-1 dan muncul salah satu daripada pasukan ketiga terbaik kumpulan selepas menamatkan saingan Kumpulan F di belakang Jepun dan Uzbekistan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:57 AM