PEMAIN Korea Selatan meraikan jaringan  Min-Jae. -Foto AFP
PEMAIN Korea Selatan meraikan jaringan Min-Jae. -Foto AFP
AFP

 

AL-AIN: Korea Selatan dan China memastikan tempat ke pusingan kedua Piala Asia selepas mempamer permulaan cemerlang sementara Australia meneruskan pemburuan untuk mempertahankan kejuaraan apabila mencatat kemenangan penting ke atas Palestin.

Korea Selatan yang juga naib juara edisi 2015, menewaskan Kyrgyzstan 1-0 hasil jaringan  Kim Min-Jae sebelum tamat separuh masa pertama manakala Wu Lei memberi inspirasi kepada China yang melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Filipina.

Korea Selatan dan China berkongsi enam mata di tangga teratas Kumpulan C menjelang penentuan juara kumpulan Rabu ini sekali gus menyertai Jordan ke pusingan kalah mati.

Korea Selatan sekali lagi terpaksa bermandi peluh menentang lawan yang kerdil selepas turut mencetak satu gol ketika bertemu Filipina yang dikendali Sven-Goran Eriksson pada perlawanan pertama.

“Ia bukan persembahan yang baik tetapi saya rasa kami berhak untuk menang. Kami agak bergelut kerana tidak dapat menjaringkan gol kedua,” kata ketua jurulatih, Paulo Bento.

 Di Abu Dhabi, Wu Lei menjaringkan gol lima minit sebelum berakhir babak pertama dan gol kedua pada minit ke-66 sebelum pemain gantian, Yu Dabao menambah gol ketiga ketika permainan berbaki 10 minit.

“Jika kami dapat meneruskan aksi seperti ini, kami tidak perlu gentar bertemu mana-mana pasukan di Piala Asia, kata ketua jurulatih China, Marcello Lippi.

Di Dubai, Austalia menewaskan Palestine 3-0 menerusi gol sumbangan Jamie Maclaren, Awer Mabil dan pemain gantian Apostolos Giannou sekali gus memadam kekecewaan tewas perlawanan pertama dengan Jordan.  

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 10:18 AM