London: Lucas Leiva yakin masih banyak yang akan dipersembahkan Lazar Markovic, pemain yang ditampilkan ketika menentang Sunderland, Sabtu lalu serta Philippe Coutinho yang semakin rancak mengatur gerak sejak kebelakangan ini.

Aksi Markovic boleh dianggap sebagai yang terbaik sejak tiba di Anfield dari Benfica musim panas lalu dan memberikan semangat baru buat pasukannya ketika menang 1-0 ke atas Black Cats di Stadium of Light, Sabtu lalu.

Pemain Serbia itu sering mengelirukan dengan larian serta gerakan pantas terutama dalam kotak penalti lawan dan Leiva gembira dengan aksi dipersembahkan rakan sepasukannya itu.

“Memang tidak dinafikan dia seorang pemain muda dan peminat biasanya menghakimi pemain selepas satu atau dua bulan,” kata Leiva.

“Semua orang sedar Liga Perdana liga sukar untuk dikuasai dalam tempoh singkat. Justeru, dia masih meningkatkan dirinya dan kini sudah membuktikan antara individu penting dalam pasukan.”

Sementara itu, Coutinho yang menerima anugerah Pemain Terbaik Bulanan Standard Chartered minggu ini, dilihat mampu menyesuaikan diri dengan cepat dan sering membuat hantaran tepat ke arah rakan sepanjang 90 minit permainan.

Pemain kelahiran Brazil itu sudah dua tahun menyemai bakat di Anfield dan dia tiba di Liverpool dari Inter Milan pada Januari 2013, tetapi Leiva yakin pemain nombor 10 itu masih mampu meningkat.

“Saya rasa Coutinho mampu pergi ke mana-mana saja kelab yang dia mahu,” kata pemain tengah itu.

“Kualiti serta pergerakannya sangat baik dan hantarannya juga tepat. Philippe sudah berada di sini sejak dua tahun lalu dan anda dapat lihat sendiri perkembangannya.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:47 AM