AINE anggap suaminya seorang yang menakjubkan.
AINE anggap suaminya seorang yang menakjubkan.

Philippe Coutinho sudah menemui ‘ rumahnya’ di Merseyside, jauh dari kampung halamannya, selepas menyaksikan popularitinya mendadak di kalangan peminat Liverpool.

Pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang buat kelabnya musim ini dan juga menandatangani kontrak baru untuk jangka panjang.

Pemain Brazil itu meninggalkan kampung halamannya di Rio de Janeiro pada 2010 untuk menyertai Internazionale tetapi di Liverpool, dia mula mempamerkan aksi hebat sejak berpindah ke Anfield pada Januari 2013.

Kini Liverpool TV memberi peluang kepada peminat kelab itu untuk melihat sendiri kehidupan Coutinho di Merseyside, di luar padang menerusi sebuah dokumentari khas.

Rancangan itu menge­tengahkan wawancara lebih mendalam de­ngan pemain Brazil itu di rumahnya, di mana dia memperkatakan mengenai perjalanannya dari Amerika Selatan ke pentas bola sepak Eropah.

“Matlamat saya sentiasa mahu bermain di kelab besar, membesar dan berkembang sebagai pemain bola sepak selain mendapat peluang bermain,” kata Coutinho.

“Saya tidak mempu­nyai peluang sedemikian di kelab sebelumnya dan bimbang ia akan berulang di Liverpool.

“Begitu pun di sini, ia bagaikan satu keluarga, sebuah kelab di mana pengurusnya suka menggunakan pemain muda. Pasukan kami mempunyai ramai pemain muda dan saya diberi banyak peluang untuk bermain.

“Pengurus memberi saya peluang dan ini membina keyakinan. Sejak saya tiba di sini, pe­ngurus sentiasa mempercayai saya dan itu sangat penting.”

Pemain Brazil itu menambah: “Bola sepak adalah sesuatu yang saya suka lakukan. Ia lebih bermakna daripada pekerjaan. Saya suka bermain bola sepak. Saya sentiasa sukakannya, sejak muda lagi dan segala-galanya membabitkan bola sepak. Bola sepak adalah minat saya.”

Isteri Coutinho, Aine yang datang dari kejiranan sama dengan bintang Liverpool, turut tampil dalam dokumentari.

Dia menganggap Coutinho sebagai seorang yang penyayang dan menakjubkan.

“Bila saya bercakap saya adalah peminatnya, ia bukan saja kerana bola sepak tetapi juga perbadinya,” kata Aine.

“Bukan kerana dia suami saya tetapi kerana dia sememangnya seorang yang menakjubkan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 1:33 PM