Philippe Coutinho (gambar) dikatakan bakal meletakkan dirinya sebagai pemain utama untuk Liverpool dan Brazil oleh pemain tengah terkemuka Kaka.

Pemain berusia 23 tahun itu menambah koleksi gol yang pasti akan diingati apabila membantu kelabnya itu melakarkan gol kemenangan lewat perlawanan ketika Liverpool menang ke atas Stoke City minggu lalu sekali gus menyaksikan barisan bimbingan Brendan Rodgers itu melakarkan kemenangan pada perlawanan pertama liga musim ini.

Rakan pasukan perancang utama dan pengurus melemparkan pujian kepadanya kerana pengaruhnya di Anfield.

Bekas pemenang Ballon d’Or, Kaka melihat kemunculan pemain senegaranya itu sebagai bintang dalam Liga Perdana Inggeris yang akan menyinar dan menegaskan Coutinho mempunyai potensi membawa kelab dan negaranya melakarkan kemenangan untuk beberapa tahun akan datang.

“Saya menjadi peminat kepada Coutinho dan dia boleh menjadi pemain paling penting untuk Liverpool dan Brazil,” katanya.

“Pastinya akan ada banyak harapan diletakkan kepadanya bersama Liverpool untuk berjuang menempah tempat ke Liga Juara-Juara tapi saya tahu dia mampu menanganinya.

“Seorang pemain hebat tidak boleh membuat satu pasukan tapi anda boleh membentuk satu pasukan yang mempunyai satu pemain hebat dan saya percaya dia boleh menjadi pemain itu.

Aksi serta kualiti yang dimiliki oleh Coutinho ketika menentang Potters mengingatkan kembali sumbangan bekas kapten pasukan Steven Gerrard yang sentiasa akan diingati di Anfield.

Manakala Kaka yang kini bersama-sama legenda Liverpool itu dalam Major League Soccer (MLS), mengakui kehilangan beberapa pemain sukar untuk digantikan dan dia percaya rakan senegaranya itu sekurang-kurang boleh membantu mengalas tanggungjawab.

Katanya: “Coutinho seorang yang merendah diri. Dia tidak mahu bercakap mengenai kemampuannya untuk menggantikan tempat legenda seperti Gerrard dan hakikatnya memang tiada siapa boleh menggantikan tempatnya Gerrard. Namun tanpa Gerrard mereka memerlukan seseorang untuk boleh mengambil alih tugas legenda itu dan dia mampu melakukannya.”

The Reds menambah seorang lagi bintang samba dalam senarai pemain pasukannya mereka dengan menandatangani Roberto Firmino dari Hoffenheim musim panas lalu.

Kaka menjangkakan penyerang itu yang mmbuat penampilan pertama dalam Liga Perdana Inggeris yang dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang Stoke mampu melakukan impak besar ke dalam liga baru yang disertai pemain itu.

“Firmino akan menjadi pemain penting Liverpool dan kami memiliki hubungan yang baik di atas padang bersama Coutinho namun peminat perlu memberikannya masa untuk menyesuaikan diri,” kata bekas pemain AC Milan dan Real Madrid.

“Anda perlu ingat dia sedang menyesuaikan diri dengan liga baru dan ia memerlukan masa.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 10:58 AM