PEMAIN NS Affimaz bergambar bersama trofi dan hadiah dimenangi.
PEMAIN NS Affimaz bergambar bersama trofi dan hadiah dimenangi.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Penyertaan kali kedua di pentas Kejohanan Bola sepak Piala Piala 1Malaysia membawa tuah buat NS Affimaz dari Negeri Sembilan apabila muncul juara peringkat Zon Selatan di Komplek Sukan Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, semalam.

Tersekat di suku akhir musim lalu menjadi pengajaran berguna buat skuad itu yang berjaya menebus kehampaan musim lalu dengan kemenangan 3-2 ke atas Harimau Mega dari Johor Bahru pada aksi final yang berlangsung sengit.

Sebelum ke final, NS Affimaz itu mengatasi Johor Indians 3-1 di separuh akhir, manakala Harimau Mega menang ke atas NS Jempol Dreams 1-0.

Sebanyak 16 pasukan menyertai kejohanan membabitkan peringkat umur bawah 19 tahun itu.

Selaku juara, skuad dari Seremban itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 yang disampaikan legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun.

Harimau Mega pula meraih RM3,000 manakala tempat ketiga dan keempat milik Johor Indians dan NS Jempol yang masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000 serta hadiah iringan.

Presiden NS Affimaz Hamdan Othman berkata, kemenangan itu amat bermakna buat pasukannya selepas kejayaan mengejutkan beberapa lawan yang memiliki barisan mantap dan antara pasukan pilihan kejohanan.

Katanya, sokongan ibu bapa selain komitmen tinggi pengurus pasukan Zulkifi Samin bersama barisan kejurulatihan berjaya membentuk gandingan mantap skuad berkenaan untuk mengungguli kejohanan.

Beliau berkata, kemenangan berkenaan bukan tiket buat pemain mendabik dada, sebaliknya harus terus komited membentuk gandingan jitu menjelang aksi Grand Final di Lembah Klang April ini.

Kejohanan anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) terbabit disertai 16 pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dengan dua pasukan terbaik layak ke Grand Final.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 4:52 AM