Pasukan Kuala Nerus juara Liga Sepak Takraw Terengganu 2019. FOTO MALIK MUHAMAD
Pasukan Kuala Nerus juara Liga Sepak Takraw Terengganu 2019. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


PASUKAN Daerah Kuala Nerus mengungguli Liga Sepak Takraw Terengganu 2019 selepas mengetepikan cabaran Daerah Besut 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Gelanggang Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), hari ini.

Bagaimanapun, regu kedua skuad Kuala Nerus terpaksa bertarung hingga set ketiga sebelum menang 21-13, 19-21 dan 21-13.

Terdahulu, regu pertama Kuala Nerus tidak menghadapi masalah mencatat kemenangan selepas mudah menundukkan regu Besut, 21-10 dan 21-10.

Kemenangan ini adalah kali ketiga buat Kuala Nerus dan lebih manis tekong, Irsyad Faiz Aziz dinobatkan Pemain Terbaik kejohanan.

Dengan kemenangan itu, pasukan Kuala Nerus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 manakala Besut meraih RM1,000 sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing menjadi milik pasukan Daerah Setiu dan Daerah Hulu Terengganu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Mohd Abas Mamat berkata, tujuh daerah bertanding pada kejohanan yang diadakan selama dua hari membabitkan 84 pemain.

"Matlamat utama kami mengadakan kejohanan tahunan ini adalah untuk mencungkil bakat baharu selain memilih pemain yang bakal memikul tugas pasukan negeri pada kejohanan Piala Emas Khir Johari pada Jun nanti dan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor.

"Berdasarkan pengamatan dan penilaian barisan jurulatih, kita sudah mengenal pasti pemain berbakat untuk diketengahkan dalam beberapa kejohanan termasuk Piala Emas dan SUKMA tahun depan selain meneruskan penguasaan dalam sukan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 6:36 PM