CHONG Wei perlu lupakan kekalahan di tangan Lin Dan.
CHONG Wei perlu lupakan kekalahan di tangan Lin Dan.

Menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, pada Ogos nampaknya Datuk Lee Chong Wei mencetuskan gelisah rakyat Malaysia.

Puncanya jaguh perseorangan lelaki negara itu tewas dua kali berturut-turut dalam tempoh sebulan kepada siapa lagi kalau bukan Lin Dan atau Super Dan.

Pertama, di final Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak awal bulan lalu serta di separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC), lewat April.

Bagi saya, ada benarnya juga keresahan itu kerana saya lihat keinginan Chong Wei untuk menang kedua-dua perlawanan itu nampak berkurangan sedikit.

Saya tidak tahu puncanya, sama ada disebabkan keletihan atau tahap kecergasannya yang semakin merosot. Tapi, memang benar-benar nampak di China (Kejohanan Badminton Asia), apa yang ditunjukkannya bukan Chong Wei sebenar.

Nak kata strategi Lin Dan sudah berbeza, saya kurang bersetuju dengan pendapat itu.

Sebab Lin Dan seorang pemain yang unggul. Kalau tewas dia akan kalah secara bermaruah.

Sebenarnya bagi saya tidak ada perbezaan strategi. Cuma apa yang saya lihat setiap pukulan dilakukan Lin Dan gagal diambil dengan baik dan pada masa sama, Chong Wei kurang menyerang.

Melihat situasi semasa ini, maka di sini perlunya kepakaran jurulatihnya - Hendrawan dan Tey Seu Bock.

Mereka harus mencari segala kelemahan Chong Wei dan mengkaji corak permainan lawan terutama Lin Dan dengan segera kerana Kejohanan Dunia hanya akan berlangsung beberapa bulan saja lagi.

Hendrawan meskipun mempunyai status selaku juara dunia, namun situasi sebagai pemain dan jurulatih adalah berbeza. Tapi, saya tetap menghormatinya dan percaya ada sesuatu yang beliau mampu ‘turunkan’ kepada Chong Wei nanti.

Saya juga percaya dua kekalahan kepada Lin Dan sedikit sebanyak akan meragut tahap keyakinan Chong Wei.

Menjelang Kejohanan Dunia juga, saya fikir lebih baik untuk Chong Wei mengehadkan daripada menyertai kejohanan yang banyak.

Melalui langkah itu Chong Wei dapat memberi tumpuan khas kepada Kejohanan dunia.

Walau apapun yang berlaku termasuk keadaan semasa yang tidak memihak kepada Chong Wei, saya tetap percaya dia mempunyai kemampuan untuk muncul juara dunia buat kali julung kami untuk Malaysia.

Sebenarnya di kejohanan itu saingan Chong Wei tidak banyak. Paling utama sudah pasti Lin Dan, Viktor Axelsen (Denmark) dan rakan senegara Lin Dan yang juga juara bertahan Chen Long.

Selebihnya saya fikir bukan masalah besar untuk Chong Wei.

Kehadiran Chen Long sebagai tiket wild card mungkin menyaksikan tugas Chong Wei semakin berat.

Tapi, itu asam garam seorang juara. Anda tidak boleh memberikan sebarang alasan, sebaliknya perlu berdepan sesiapa saja sekiranya mahu mencapai kejayaan.

Ayuh Chong Wei sahut cabaran ini! Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 8:43 AM